Zahid buat laporan polis atas dakwaan ‘lebih banyak tuduhan jenayah’

Zahid buat laporan polis atas dakwaan ‘lebih banyak tuduhan jenayah’

Peguam berkata, pihak pembelaan dalam perbicaraan bekas timbalan perdana menteri itu tidak puas hati dengan kenyataan yang kononnya datang daripada PPBM.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berdepan 47 pertuduhan jenayah melibatkan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pihak pembelaan dalam perbicaraan rasuah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata, sebuah laporan polis telah dibuat berkenaan dakwaan “lebih banyak tuduhan jenayah akan dikemukakan” terhadap bekas timbalan perdana menteri itu.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan hal ini kepada Mahkamah Tinggi sebelum perbicaraan Zahid bermula pagi tadi.

“Kami ingin menarik perhatian mahkamah terhadap sebuah mesej yang tular hujung minggu lalu berkenaan keputusan yang kononnya dibuat PPBM. Kami mempertikaikan item nombor enam dalam mesej yang mendakwa lebih banyak tuduhan yang akan dikemukakan terhadap klien kami.

“Bagaimanapun, setiausaha agung parti itu (Hamzah Zainudin) tampil menafikan tuduhan tersebut dan mereka juga akan membuat laporan polis,” kata beliau.

Mesej itu juga mendakwa Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali akan dilantik sebagai timbalan perdana menteri “sebagai persiapan untuk pilihan raya umum”.

Hisyam, bagaimanapun, berkata pihak pembelaan yakin pada hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah, yang sedang mendengar 47 pertuduhan terhadap Zahid ketika ini.

Zahid sedang dibicarakan atas tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah membabitkan jutaan ringgit daripada yayasan milik keluarga beliau, Yayasan Akalbudi, dan menerima rasuah untuk pelbagai projek selama memegang jawatan sebagai menteri dalam negeri.

Menjawab kenyataan Hisyam, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi berkata, pihak pendakwaan tidak tahu menahu mengenai dakwaan tersebut, sambil menambah, “ini hanyalah satu lagi isu politik”.

Sequerah kemudian berkata, pihak pembelaan bukannya membuat apa-apa andaian terhadap pihak pendakwaan.

Ketika ini, seorang lagi timbalan pendakwa raya, Harris Ong memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan mahu meminda salah satu daripada 27 tuduhan pengubahan wang haram terhadap Zahid.

Kata beliau, pindaan itu melibatkan bilangan cek dan jumlah keseluruhan.

Dalam pindaan itu, pihak pendakwaan menegaskan Zahid terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram dengan mengarahkan seorang pengurup wang (Omar Ali Abdullah) untuk menukar sejumlah RM7.5 juta kepada 35 keping cek dan kemudian mendeposit cek-cek tersebut ke dalam akaun sebuah firma guaman.

Zahid minta dibicarakan atas tuduhan yang dipinda itu dan memberitahu mahkamah: “Saya faham pindaan ini bertujuan untuk meningkatkan hukuman dan saya mengaku tidak bersalah”.

Selain 47 tuduhan itu, Zahid turut berdepan 40 tuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Shah Alam berkaitan pelaksanaan sistem visa asing Malaysia (VLN).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.