
Menterinya, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, hasil siasatan 15 anggota penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor ke atas sampel air di dua kawasan sepanjang 1.5km sungai itu mendapati bacaan oksigen terlarut dan pH air di paras normal.
Katanya, air berwarna hitam yang dilaporkan orang ramai bukannya pencemaran sisa toksik, tetapi berpunca daripada pelepasan sisa biasa dari premis yang tidak berbahaya kepada penduduk seperti kejadian pada 2019.
“Jadi laporan sebelum ini yang mendakwa wujud pelepasan sisa lebih besar berbanding 2019 adalah tidak tepat dan tidak berlaku sebarang pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim.
“Kita secara bersama antara agensi kerajaan juga menggerakkan usaha pengawalan pencemaran dan sudah pun memulakan projek menghidupkan denai Sungai Kim Kim, termasuk bersama komuniti dan agensi swasta menceriakan sungai,” katanya selepas melawat Sungai Kim Kim.
Tuan Ibrahim berharap penduduk akan membuat aduan segera berhubung sebarang pencemaran disyaki kepada JAS kerana tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan hilang bahan bukti.
Tak bincang agihan kerusi
Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim menafikan beliau berbincang soal pengagihan kerusi dalam pertemuan dengan Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad di pejabatnya pagi tadi.
“Kita bincang dua perkara, antara isu dibangkitkan ialah tanggungjawab di peringkat kementerian, iaitu sistem kumbahan di kawasan Johor Bahru dan Pasir Gudang.
“Selain itu, isu pembakaran terbuka memandangkan Johor mengalami cuaca panas dan memiliki kawasan tanah gambut yang luas, jadi kita harap dapat dielakkan pembakaran di tanah terbuka.
“Itu adalah kunjungan hormat saya (sebagai menteri), tidak ada bincang mengenai agihan kerusi pun,” katanya yang juga timbalan presiden PAS.