
Beliau yang sebelum ini mengumumkan menyertai Gerakan selepas keluar dari DAP Mac tahun lalu menuduh pembangkang sengaja memperbesarkan penyertaannya dalam PPBM.
Kata beliau, Gerakan adalah parti komponen Perikatan Nasional (PN) dan secara tidak langsung menjadi sebahagian daripada “keluarga besar PPBM”.
“Saya tak ada masa untuk beri alasan kepada sesiapa mengapa saya tinggalkan Gerakan tapi sebenarnya kita dalam satu keluarga.
“Kalau Gerakan tak ada dalam PN, mungkin soalan itu boleh ditujukan kepada saya. Memang perlu kena jawab, tetapi sekarang tak ada isu,” kata beliau yang kini berstatus ahli bersekutu PPBM.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan dan Suai Kenal Kepimpinan Parti Komponen PN Bahagian Ipoh Barat di Pejabat PPBM Ipoh Barat malam tadi.
Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan kerusinya atas tiket PPBM pada pilihan raya umum akan datang, Sivasubramaniam berkata, ia terserah kepada pucuk pimpinan parti.
Bagaimanapun, beliau yakin mampu mempertahankan kerusi berkenaan sekiranya diberikan peluang kerana sudah berkhidmat di kawasan itu selama empat penggal.
Jumaat lalu, Sivasubramaniam dan ADUN Tronoh Yong Choo Kiong yang juga bekas ADUN DAP, disahkan menyertai PPBM sebagai ahli bersekutu.
Keahlian mereka disahkan oleh Setiausaha PPBM Perak Zainol Fadzi Paharuddin.