Perkahwinan kanak-kanak menurun, kata data, tetapi adakah betul?

Perkahwinan kanak-kanak menurun, kata data, tetapi adakah betul?

Permohonan perkahwinan diluluskan oleh hakim syariah menurun susulan SOP, tetapi Unicef berkata kemiskinan mungkin menyebabkan peningkatan jumlah tidak berdaftar.

Jumlah permohonan perkahwinan kanak-kanak di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia menurun dari 1,144 pada 2015 kepada 692 pada 2020, dengan 451 daripadanya telah diluluskan.
PETALING JAYA:
Jumlah perkahwinan kanak-kanak yang didaftarkan di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dilaporkan menurun sejak lima tahun lalu, tetapi Unicef Malaysia percaya mungkin terdapat trend peningkatan terutama dengan wabak yang memaksa kanak-kanak miskin berhenti sekolah lebih awal.

Bercakap pada forum Unicef mengenai menamatkan isu perkahwinan kanak-kanak pagi tadi, pesuruhjaya kanak-kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Noor Aziah Mohd Awal berkata data dari jabatan itu menunjukkan sebanyak 692 perkahwinan kanak-kanak didaftarkan tahun lalu, berbanding 785 pada 2019 dan 1,144 pada 2015.

Daripada 692 pendaftaran pada 2020, hanya 451 yang akhirnya diluluskan.

Beliau berkata itu adalah hasil dari negeri yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan JKSM, di mana hakim syariah akan meminta laporan perubatan dan sosial sebelum meluluskan permohonan perkahwinan.

Beliau juga berkata seorang wakil dari pejabat ketua hakim syariah Kedah mendedahkan, SOP menyebabkan jumlah permohonan perkahwinan kanak-kanak di kawasan luar bandar negeri itu menurun.

“Walaupun ada pengurangan permohonan dan permohonan yang diluluskan, ia masih lagi bermakna kanak-kanak dibenarkan untuk berkahwin di bawah Islam,” katanya.

Noor Aziah berkata, Pahang juga menaikkan minimum usia perkahwinan kepada 18, menjadikannya satu-satunya negeri lain yang mengubah undang-undang keluarga Islam, selain Selangor.

Menyedari bahawa perkahwinan kanak-kanak sering digunakan sebagai solusi untuk kehamilan di luar nikah, beliau menyeru kepada pendidikan seks yang lebih baik di negara ini.

“Kita tidak banyak bercakap tentang bagaimana perkahwinan digunakan sebagai solusi segera untuk mengelakkan zina,” katanya. “Kita tidak boleh memaksa kanak-kanak menjadi ibu bapa terlalu awal ketika mereka sendiri hampir tidak memahami gesaan yang menyebabkan mereka berada dalam situasi itu.”

Sementara itu, Unicef Malaysia berkata terdapat “trend kenaikan” perkahwinan kanak-kanak di negara ini, berkemungkinan kesan akibat pandemik sejak setahun lalu.

Ketua perlindungan kanak-kanaknya, Sarah Norton-Staal, berkata virus dan perintah sekatan “meningkatkan faktor risiko perkahwinan kanak-kanak”, seperti kemiskinan, yang akan menyebabkan lebih ramai berhenti sekolah.

Kanak-kanak yang berhenti sekolah kemudian dipaksa berkahwin awal untuk meringankan beban kewangan keluarga.

Namun, beliau berkata masih ada kekurangan data rasmi dan pelbagai isu berhubung pendaftaran perkahwinan, menjadikannya “sukar untuk memastikan angka atau corak yang tepat”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.