
Peter Foley, yang mengetuai misi kerajaan Australia menjejaki pesawat tersebut tujuh tahun lalu, berkata beliau bersetuju dengan penyelidikan baharu oleh sebuah kumpulan bebas yang menyatakan kemungkinan bahawa bangkai pesawat itu mungkin berada di kedudukan 70 batu nautika dari kedua-dua sisi kawasan sasaran di selatan Lautan Hindi.
Pesawat penerbangan MH370 hilang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 2014 dan inkuiri antarabangsa mencapai kesimpulan bahawa ia berada di dasar Lautan Hindi selatan.
Foley meminta inkuiri baharu itu berdasarkan maklumat terkini yang memberi petunjuk bahawa pesawat itu jatuh kira-kira 1,200 batu di sebelah barat Cape Leeuwin, Australia Barat.
Ini termasuk penemuan sekeping serpihan Boeing 777 dipercayai milik MH370 yang terdampar di sebuah pantai di Afrika Selatan Ogos lalu.
Sebuah kumpulan penyelidik bebas berkata, ia menunjukkan pesawat itu jatuh menjunam dengan tidak terkawal.
Setakat ini, 33 kepingan serpihan yang sama ada disyaki atau telah disahkan berasal daripada MH370 dijumpai di Mauritius, Madagascar, Tanzania dan Afrika Selatan.