Jumlah kes baharu itu adalah rekod terendah untuk tahun ini.
Ini menjadikan 296,379 kes sembuh daripada keseluruhan 316,269 kes Covid-19 dengan 1,186 kematian yang dilaporkan setakat ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 18,704 kes aktif dengan 76 daripada 155 pesakit di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.
Daripada jumlah kes baharu itu, beliau berkata, 1,278 kes ialah penularan tempatan serta dua kes import.
Katanya, kes penularan tempatan itu membabitkan 919 warganegara dan 359 warga asing.
Selangor terus mencatatkan jumlah kes tertinggi, iaitu 464 kes.
“Daripada jumlah ini, 368 kes daripada kluster dan saringan kontak rapat,” katanya dalam kenyataan.
Ia diikuti Johor (165), Sarawak (163), Pulau Pinang (143), Kuala Lumpur (119), Sabah (64), Negeri Sembilan (45), Terengganu (36), Perak (34), Kedah (25), Kelantan (16), Putrajaya (3), Pahang (2) dan Perlis (1).
Tiada kes baharu dilaporkan di Melaka dan Labuan.
Hisham berkata, lima kes yang dilaporkan berkaitan kluster di penjara, iaitu Tembok Pengkalan Chepa (2), Penjara Jalan Harapan (2) dan Jalan Awang (1).
Beliau berkata, empat kematian dilaporkan di Selangor serta masing-masing satu di Sabah, Sarawak, Perak, Terengganu dan Kuala Lumpur.
Katanya, sembilan kematian itu membabitkan lapan warganegara dan seorang warga asing berusia 38 hingga 88 tahun.
Beliau berkata, lapan daripadanya mempunyai latar belakang penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang kronik.