
Dengan spekulasi yang semakin kuat bahawa pilihan raya akan diadakan tahun ini, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sedang mencari jalan terbaik untuk berjaya, sama ada dengan bersekongkol dengan musuh atau cuba “membeli” kepercayaan presiden mereka.
Penganalisis politik Kenneth Cheng berkata, perbuatan “tikam belakang” dijangka berlaku kerana gabungan Perikatan Nasional (PN) yang memerintah hanya memiliki majoriti tipis di Dewan Rakyat.
“Kedua-dua pihak hanya perlu ‘memikat’ satu atau dua Ahli Parlimen untuk memperoleh majoriti. Sekiranya kerajaan sekarang kuat, ini tidak akan berlaku,” kata beliau.

Cheng berkata, pengkhianatan itu juga berpunca daripada rundingan kerusi antara PPBM, PAS dan Umno, dengan mengatakan bahawa rundingan tersebut mungkin gagal kerana mereka tidak bersetuju tentang kerusi yang boleh dimenangi.
“Dengan beberapa Ahli Parlimen Umno berpaling tadah kepada PPBM, Umno akan berkata, ini adalah kerusi kami, tetapi PPBM akan berkata bahawa Ahli Parlimen itu sekarang bersama kami,” kata beliau.
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, pilihan raya mungkin diadakan sebelum Ogos untuk mengelakkan kemungkinan pilihan raya umum diadakan sebelum umur pengundian baharu 18 tahun dikuat kuasa.
Beliau berkata, krisis politik antara PPBM dan Umno semakin genting selepas Umno memutuskan untuk hanya bekerjasama dengan pakatan kerajaan sehingga Parlimen dibubarkan.
Beberapa pakar politik berkata tokoh kuat Umno yang berdepan tuduhan rasuah mungkin akan didapati bersalah, berikutan pengisytiharan darurat pada Januari.
Enam pemimpin kanan Umno yang sedang menjalani perbicaraan ialah Najib Razak, Ahmad Zahid Hamidi, Ahmad Maslan, Tengku Adnan Mansor, Azeez Abdul Rahim dan Bung Moktar Radin.

Awang Azman berkata, PPBM mungkin berasa ia mempunyai ruang untuk “memikat” Ahli Parlimen Umno setelah pemimpin parti itu didapati bersalah.
“Perdana menteri mungkin akan mengarahkan PAS berperanan sebagai pendamai untuk memujuk Umno bekerjasama dengan mereka,” kata beliau.
‘Kami tidak tahu siapa boleh dipercayai’
Seorang Ahli Parlimen veteran yang tidak mahu namanya didedahkan memberitahu FMT, ahli parti tidak tahu siapakah yang harus dipercayai selepas Langkah Sheraton tahun lalu, yang mengakibatkan kejatuhan Pakatan Harapan (PH) dan PN merampas tampuk kuasa.
“Sebilangan mungkin menyatakan sokongan mereka kepada parti dan presiden, tetapi mungkin membocorkan maklumat kepada pihak lain,” kata beliau.
Beliau berkata, sebelum Langkah Sheraton, ahli politik mungkin akan “menikam belakang” rakan seperjuangan mereka untuk mendapatkan kerusi yang lebih baik, tetapi berasa sedikit takut untuk mengkhianati parti mereka.
“Kami tidak perlu risau rahsia penting kami dibocorkan kepada pihak lain, tetapi sekarang kami tidak tahu bagaimana maklumat itu akan dimanipulasi,” tambah beliau.
Ahli Parlimen mungkin menjadi talam dua muka untuk parti lain bagi mendapatkan kerusi lebih baik, tetapi pada masa yang sama juga berusaha untuk memenangi hati presiden.
Ketika parti politik bersiap sedia untuk pilihan raya umum ke-15, Ahli Parlimen veteran itu berkata, mereka sedang menyaring “yang baik daripada yang buruk dengan menjejak perjalanan Ahli Parlimen sejak PRU14 (pilihan raya umum ke-14)”.
Bagaimanapun oleh sebab Malaysia tidak mempunyai undang-undang antilompat parti, topik kesetiaan, tetap menjadi subjektif buat sesetengah pihak.
“Bagi kami, kesetiaan tidak dapat dibeli dalam masa satu atau dua hari, ia adalah satu proses. Kami berharap kami sudah dapat menyenaraikan orang yang tepat untuk pilihan raya akan datang,” kata beliau.
Gabungannya setakat ini telah menyenaraikan calon untuk pilihan raya berdasarkan beberapa penanda utama, seperti kesetiaan, tahap pendidikan, prestasi dan sokongan akar umbi.
Seorang pakar strategi PH memberitahu FMT, wujud golongan terdesak yang sanggup melakukan apa-apa sahaja dan akan terus cuba memanfaatkan perpecahan dan dinamika dalam sesebuah parti politik.
Beliau menambah, lebih ramai wakil rakyat cenderung ditawarkan wang dan jawatan untuk melompat parti.