Setahun pemerintahan PN: Langkah kanan, bukan ‘Langkah Sheraton’ atau ‘tebuk atap’, kata Hadi

Setahun pemerintahan PN: Langkah kanan, bukan ‘Langkah Sheraton’ atau ‘tebuk atap’, kata Hadi

Perubahan pentadbiran kerajaan pada Feb lalu dilakukan secara demokratik dan mengikut proses Perlembagaan Persekutuan.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata berbeza dengan Pakatan Harapan yang asyik bertelagah sesama sendiri, pemimpin Perikatan Nasional sebaliknya terus bekerja siang dan malam, bagi memulihkan semula kedudukan negara.
PETALING JAYA:
Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata, perubahan pentadbiran kerajaan pada Feb tahun lalu tidak wajar dikaitkan dengan “Langkah Sheraton”, sebaliknya wajar dianggap sebagai “langkah kanan” selepas beberapa isu pentadbiran dikaitkan dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Hadi berkata, perubahan pentadbiran kerajaan pada Feb lalu dilakukan secara demokratik dan mengikut proses Perlembagaan Persekutuan, dengan langkah paling tepat adalah tidak “menebuk atap” dan bukannya “masuk dari pintu belakang” seperti didakwa pemimpin pembangkang sebelum ini.

“Sebenarnya kemenangan PH sangat rapuh, lantaran ramai rakyat tertipu dengan manifesto dan janji PRU14 yang dikemukakan, laksana permohonan Puteri Gunung Ledang dalam cerita dongeng Melayu yang mudah lupa. Khususnya mereka yang lupa terhadap janji-janji PH yang terlalu banyak.

“Apa yang berlaku adalah perubahan secara bersih, cuma sukar membersihkan peninggalan dilakukan PH dalam beberapa tahun apabila mereka membuat pelbagai kecamuk sewaktu era pemerintahan yang pendek. Bak kata orang-orang tua, hendak membaiki itu lebih susah daripada hendak merosakkan,” katanya dalam kenyataan.

Hadi turut memaklumkan, ramai pemerhati luar negara kagum dengan pertukaran kerajaan pada Feb lalu memandangkan tidak ada setitik darah yang tumpah, tanpa adanya demonstrasi yang tidak bersih, tidak berlaku pergaduhan dengan polis dan tentera dan tidak menganggu pegawai kerajaan yang sedang bertugas.

Katanya, berbeza dengan PH yang asyik bertelagah sesama sendiri, pemimpin Perikatan Nasional (PN) sebaliknya terus bekerja siang dan malam, bagi memulihkan semula kedudukan negara walaupun menyedari masih terdapat usaha dilakukan pemimpin PH yang berhasrat untuk kembali merampas kedudukan.

“Kami bekerja siang dan malam ketika PH sedang bergaduh siang dan malam. Kejayaannya berusaha mengambil yang jernih dan menolak yang keruh. Kami menerima rakan yang keluar daripada kolam PH yang dikeruhkan airnya oleh tangan-tangan mereka sendiri yang saling bercakaran.

“Ada yang berkata, PH tidak “berpolitiking”, kononnya taat setia kepada titah Yang di-Pertuan Agong supaya tidak berpolitiking. Akan tetapi, mereka tetap juga berpolitiking mendesak agar diadakan sidang Parlimen ketika tempoh masa darurat kerana Agong yang mengisytiharkannya boleh bersidang,” katanya.

Kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dibentuk pada Feb tahun lalu. Manakala, Hadi dilantik sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri sejak Apr tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.