
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, dalam pertemuan bersama Natrah, Ahli Parlimen berkenaan mengesahkan tiada tawaran itu untuk menyogoknya supaya memberi sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
“Dalam pertemuan tersebut, Natrah mengesahkan bahawa tiada tawaran rasuah berjumlah RM10 juta sebagaimana yang didakwa menerusi kenyataan di akaun Facebook dikenali sebagai Ops Johor,” katanya dalam kenyataan selepas Natrah hadir di SPRM Cawangan Segamat, Johor.
Terdahulu, Natrah memaklumkan beliau dijanjikan manfaat jika bersetuju untuk berpaling tadah daripada PKR.
Namun, beliau secara tegas menolak untuk memberi sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin dan menyatakan sudah memaklumkan perkara itu kepada pucuk pimpinan PKR.
SPRM, bagaimanapun berkata pihaknya akan terus menjalankan siasatan terhadap isu itu dengan beberapa saksi kes termasuk keterangan Natrah akan diambil dalam masa terdekat.
“Sehubungan itu, SPRM turut menggesa semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan kes ini.”
Pada 28 Feb lalu, dua wakil rakyat pembangkang, Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon membuat akuan berkanun (SD) menyokong kerajaan PN.