Carut guru pada belakang baju sekolah, pelajar mohon maaf

Carut guru pada belakang baju sekolah, pelajar mohon maaf

Tular gambar di media sosial memaparkan tiga individu menunggang motosikal dengan dua daripadanya memakai baju sekolah dengan tulisan menghina guru.

Pelajar tingkatan lima itu mengaku bersalah kerana memakai baju sekolah dengan tulisan menghina guru bersama dua lagi rakannya selepas gambar mereka tular di media sosial. (Gambar Facebook)
KOTA BHARU:
“Saya mengaku salah secara terbuka atas kesalahan saya yang menulis perkataan mencarut guru di belakang baju sekolah.”

Demikian pengakuan seorang pelajar yang sebelum ini dikatakan mencarut guru dengan menconteng di belakang baju sekolah sambil menunggang motosikal.

Memetik laporan akhbar Harian Metro, pelajar tingkatan lima sebuah sekolah di Kota Bharu itu mengaku bersalah dan memohon maaf atas tindakannya itu dengan memuat naik hantaran di Facebook.

Terdahulu, tular gambar di media sosial memaparkan tiga individu menunggang motosikal dengan dua daripada pelajar berkenaan memakai baju sekolah dengan tulisan menghina guru. Seorang daripadanya tidak memakai topi keledar.

Dalam pada itu, pelajar terbabit turut menjelaskan motosikal yang ditunggangnya itu bukan miliknya.

“Pemilik motosikal adalah kawan kepada abang saya. Sekali lagi saya memohon maaf dan meminta semua pihak tidak menyebarkan gambar pemilik motosikal kerana dia tidak bersalah,” katanya.

Sementara itu, pemilik motosikal yang mahu dikenali sebagai Muhammad Afiq, 22, berkata motosikal berkenaan ditinggalkan di kampung untuk kemudahan adik-adiknya sementara dia bekerja di luar Kelantan.

Namun, dia yang turut membuat laporan polis itu, terkejut apabila dimaklumkan dia yang menunggang motosikal berkenaan selepas gambarnya tular di Facebook.

“Apapun saya mohon supaya orang ramai memadam gambar saya,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengambil tindakan terhadap pemilik kenderaan yang tular menyaksikan seorang pelajar membonceng motosikal tanpa memakai topi keledar sambil mencarut guru.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.