
Dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung MCA 2021 hari ini, Wee turut mendakwa terdapat segelintir pihak yang ingin mengambil kesempatan daripada keadaan ini supaya mereka berjaya memperoleh lebih banyak undi akibat salah faham antara kumpulan etnik.
Beliau turut mengingatkan ahli MCA supaya terus berpegang teguh kepada pendirian politik dan kedudukan parti berkenaan sejak mula ditubuhkan.
“Kita adalah duta hubungan etnik, kita adalah jambatan yang menyatukan rakyat dan kita adalah parti politik yang mewujudkan keharmonian dan keamanan.
“Walaupun lawan kami berusaha mendapatkan kuasa dengan menimbulkan kebencian antara kaum, MCA bergantung sepenuhnya atas usaha perdamaina dengan orang lain,” katanya.
Wee yang juga menteri pengangkutan turut mengimbau kembali tohmahan dan kritikan pihak tertentu terhadap MCA.
“Pada masa lalu, segelintir pihak memberi komen bahawa ahli MCA adalah orang yang baik, tetapi mereka silap memilih parti.
“Kita bukannya salah pilih parti, tetapi inilah parti yang boleh dipercayai untuk kita letakkan kepercayaan kita,” katanya.
Pada masa sama, Wee berkata, sepanjang 13 bulan lalu, ketidaktentuan politik, penularan wabak Covid-19 dan tertangguhnya sesetengah aktiviti ekonomi mencetuskan antara keadaan yang paling buruk di Malaysia.
“Ia mengubah cara masyarakat melihat politik sebelum ini. Apa-apa yang kita pandang sambil lewa pada masa lalu, kini menjadi sesuatu yang luar biasa,” katanya.
Wee turut menyentuh mengenai peletakan jawatan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Feb tahun lalu.
“Secara tiba-tiba, Perikatan Nasional menjadi kerajaan yang memerintah dan MCA kembali menjadi parti pemerintah,” katanya.
Tambahnya, disebabkan penularan wabak Covid-19, rakyat terpaksa terus berada di dalam rumah, menyebabkan ramai antara mereka kehilangan kerja, sekali gus melemahkan kedudukan ekonomi.
Disebabkan itu, menurut Wee adalah penting untuk parti politik dan pemimpinya menyediakan asas yang kukuh untuk kestabilan politik.
Tegasnya, MCA tidak pernah menjadi parti pengacau.
“Dengan kebijaksanaan dan pendekatan strategik, kita mencari kata sepakat dengan pihak lain dalam gabungan itu.
Dengan sikap hormat dan saling memahami, kita berada di sini untuk menghadapi masalah, menangani masalah dan menyelesaikan masalah,” katanya kepada ahli parti berkenaan.
Wee turut menggesa ahli MCA supaya terus bekerja keras bagi mendapatkan sokongan daripada pengundi dan terus mengukuhkan kedudukan politik parti berkenaan dalam kerajaan ketika ini.
MCA dalam mesyuarat tahunannya turut meluluskan lima resolusi, antaranya bersiap sedia di bawah Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang, dan berusaha mendapatkan kembali mandat rakyat.
Selain itu, tetap berpegang kepada visi politik parti, dalam mempromosi semangat kepelbagaian dan kesederhanaan, serta berkhidmat kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum.
Bahkan, menyeru semua parti menghentikan segala bentuk percaturan politik yang merosakan.
“MCA menyokong kerajaan mengambil langkah bagi mengurangkan penularan pandemik supaya rakyat dapat menjalani kehidupan normal, serta merakamkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang berjuang habis-habisan sepanjang tahun lepas.
“MCA turut menyokong kerajaan menyediakan vaksinasi Covid-19 secara percuma,” katanya.
Dari aspek ekonomi, MCA turut menyokong pelaksanaan Belanjawan 2021, yang memanfaatkan rakyat tanpa mengira kaum dan agama, di samping mengetengahkan lebih banyak skim bantuan untuk menolong golongan serta bidang yang paling terjejas akibat Covid-19.
“MCA mengalu-alukan tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) meletakkan kembali dasar pendidikan ke landasan yang betul, termasuk penambahan serta pemindahan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), peruntukan untuk institusi pendidikan dan sebagainya,” katanya.