
Timbalan presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, jumlah pekerja swasta yang berkesatuan kurang daripada 8% walaupun kerajaan mengamalkan dasar pintu terbuka kepada kesatuan yang membuat aduan berhubung masalah pekerja ditindas.
Katanya, antara sebabnya ialah kebanyakan mereka bekerja secara tidak tetap dan berstatus kontrak untuk perkhidmatan atau “contract for service”.
Effendy berkata, MTUC memandang serius isu kurangnya minat untuk menjadi ahli kesatuan kerana peranannya amat penting sebagai platform bagi pekerja menyuarakan hak dan menjaga kebajikan jika ditindas.

Beliau mencadangkan supaya kerajaan meminda Akta Kerja bagi memastikan tiada lagi pekerja berstatus kontrak untuk perkhidmatan, sekali gus dapat menarik minat mereka untuk menyertai kesatuan.
“Pindaan Akta Kerja perlu dibuat bagi menghapuskan semua jenis kerja terma tetap dan sementara, sebaliknya hanya status ‘contract of service’ (kontrak perkhidmatan) dibenarkan, manakala ‘contract for service’ (kontrak untuk perkhdimatan) perlu ditiadakan.”
Menurut beliau, inilah antara punca gerakan kesatuan menjadi lemah ekoran limitasi dalam akta sedia ada.
Katanya, kebanyakan pekerja yang berstatus kontrak tidak dapat menyertai kesatuan, walaupun mengakui kesedaran pentingnya berkesatuan masih rendah dalam kalangan pekerja kerana tidak dididik dari awal.
Di samping itu katanya, peranan kesatuan juga lemah apabila sesetengah syarikat mengamalkan dasar tutup pintu untuk pekerja menubuhkan kesatuan atau “union busting“.
Katanya, kebanyakan sektor pekerjaan bertukar menjadi kontrak pada awal 2000 apabila kerajaan mengeluarkan status pekerjaan tetap pemandu teksi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan menjadikan mereka “kontraktor independen”.
“Ini turut melibatkan pemandu lori dan bas ekspres pada waktu itu dan dari situlah permulaannya.
“Sekarang hampir semua pemandu lori bekerja mengikut trip perjalanan menyebabkan perlindungan sosial seperti SOCSO dan KWSP tiada,” katanya walaupun mengakui terdapat juga syarikat yang menawarkan perlindungan tertentu.
Katanya, wujud banyak kebaikan jika pekerja menjadi ahli kesatuan, termasuk dapat mengelakkan mereka menjadi mangsa eksploitasi majikan.
“Kesatuan sekerja juga membantu majikan dalam mewujudkan suasana pekerjaan lebih stabil.
“Kesatuan turut bertanggungjawab membantu produktiviti syarikat di samping menjaga kebajikan pekerja.
“Ini secara tidak langsung mewujudkan perhubungan harmoni antara pekerja dan majikan,” katanya sekali gus meminta semua pihak, termasuk ahli politik dan pemimpin masyarakat memainkan peranan memberi kesedaran kepada pekerja tentang pentingnya berkesatuan.
Kenyataan MTUC itu menyusuli desakan Parti Sosialis Malaysia (PSM) supaya kerajaan menyelesaikan masalah penindasan yang dihadapi oleh pemandu kenderaan berat .
Parti itu menggesa Kementerian Pengangkutan memastikan kadar imbuhan dan perlindungan diberikan kepada kumpulan itu, serta membenarkan penubuhan kesatuan pemandu .
“Gaji, imbuhan dan perlindungan untuk pemandu kenderaan berat amat buruk di Malaysia kerana ketiadaan kesatuan nasional dan undang-undang tertentu menyebabkan mereka ditekan oleh syarikat logistik,” kata PSM.
Effendy bagaimanapun berkata, Kesatuan Pekerja-pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia telah wujud untuk pemandu mendaftar sebagai ahli.