Kerajaan perlu ‘idea segar’ pulih ekonomi, kata pakar

Kerajaan perlu ‘idea segar’ pulih ekonomi, kata pakar

Ahli ekonomi berpendapat rancangan perdana menteri untuk membawa negara keluar daripada perangkap pendapatan menengah ketinggalan zaman.

Pakar ekonomi berkata, Malaysia perlu mengurangkan pergantungan pada tenaga kerja asing untuk kekal berdaya saing.
PETALING JAYA:
Dua pakar ekonomi menempelak idea Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk membawa negara keluar daripada perangkap pendapatan menengah dengan berkata, ia menggambarkan pemikiran yang sangat tradisional.

Dalam Forum Ekonomi Belia 2021 baru-baru ini, Muhyiddin berkata, Malaysia perlu menjadi pemain eksport global yang mengeluarkan produk baharu yang bernilai tinggi dan meningkatkan keupayaan pembuatannya untuk menghasilkan produk yang canggih.

“Malaysia juga perlu melahirkan syarikat multinasional tempatan kerana pulangannya kepada pertumbuhan ekonomi sangat tinggi,” kata beliau.

Usaha itu memerlukan idea lebih segar, kata Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia dan Mohamed Aslam Haneef dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Walaupun ada keperluan untuk meningkatkan eksport global, namun terdapat masalah struktur sepanjang 40 tahun lalu, dengan eksport negara terlalu bergantung kepada import, kata Aslam kepada FMT.

Beliau menambah, kenyataan Muhyiddin tentang keperluan melahirkan syarikat multinasional tempatan telah dibincangkan sejak 30 tahun lalu.

“Kita berbicara tentang ekonomi pengetahuan dan Revolusi Industri 4.0, tetapi berapakah peratusan pekerjaan berstatus rendah dan sederhana?

“Industri terus berkata bahawa universiti tidak menghasilkan graduan yang diperlukan, tetapi industri sendiri tidak menghasilkan pekerjaan peringkat siswazah.

“Trend guna tenaga tidak penuh semakin membimbangkan,” kata beliau.

Williams percaya pergantungan pada aktiviti pembuatan dalam sebuah dunia yang menyaksikan sektor perkhidmatan menjadi lebih dominan membayangkan pemikiran gaya lama.

“Perangkap pendapatan menengah berlaku jika sesebuah negara gagal menghasilkan produk bernilai tambah tinggi dan hilang kelebihan daya saingnya berdasarkan upah rendah, terutamanya dalam sektor pembuatan,” kata beliau.

“Ia menyebabkan pertumbuhan lebih perlahan, pelaburan lebih rendah dan kesukaran mengejar gaya hidup lebih maju.

“Malaysia tidak boleh bergantung kepada persaingan upah rendah, terutama sekali kerana ia melibatkan pekerja asing yang sedang menderita, seperti yang dinyatakan sendiri oleh menteri sumber manusia baru-baru ini.

“Negara juga perlu fokus kepada kemampuan domestiknya untuk menaikkan upah ke tahap yang lebih baik, membantu rakyat menabung untuk persaraan dan memberikan sokongan sosial, terutamanya kepada penduduk miskin di luar bandar,” kata beliau.

Kata beliau, kerajaan harus menyasarkan masa depan pekerjaan dan bidang lain yang lebih berdaya tahan terhadap automasi, terutamanya kerana Malaysia tidak banyak melabur dalam penyelidikan dan pembangunan berbanding negara lain.

Beliau berkata, negara juga harus belajar menggunakan teknologi baharu, bukannya terus “bermimpi mencipta” inovasi baharu, selai membantu memupuk perusahaan kecil dan sederhana, yang disifatkannya sebagai tonggak ekonomi yang berjaya.

“Mencipta ekonomi pasaran sosial dengan persaingan sebagai terasnya, perlindungan undang-undang yang baik dan kecekapan percukaian untuk menggalakkan pelaburan membantu mewujudkan kesejahteraan dan keadilan sosial yang lestari.

“Keazaman politik untuk menghentikan perancangan pusat lima tahun dan membenarkan pasaran menerajui pembangunan ekonomi sangat penting.

“Kerajaan harus bertindak lebih,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.