Hubungan PPBM Sabah dengan Umno kekal utuh, kata Hajiji

Hubungan PPBM Sabah dengan Umno kekal utuh, kata Hajiji

Pertikaian antara pemimpin daripada kedua-dua parti peringkat persekutuan itu tidak akan mempengaruhi gabungan yang memerintah di Sabah, kata ketua GRS.

Hajiji Noor dari PPBM dan Bung Moktar Radin dari Umno sebelum ini berjanji untuk bekerjasama di Sabah.
KOTA KINABALU:
Keretakan PPBM-Umno di peringkat persekutuan tidak akan menjejaskan hubungan antara kedua-dua parti itu di Sabah dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata ketua kedua-dua parti itu.

Ketua PPBM Sabah Hajiji Noor, yang juga ketua menteri, mengumumkan kerjasama antara kedua-dua parti itu di peringkat negeri tidak akan terjejas dengan perkembangan politik di Semenanjung sementara Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin berkata bahagian parti negeri itu mempunyai autonomi untuk memutuskan sebarang kerjasama politik.

“Umno di peringkat persekutuan tahu matlamat kita adalah untuk memperkuat gabungan GRS dan PPBM akan terus bekerja dan bekerjasama dengan rakan kita di Sabah untuk menghormati mandat rakyat yang menjadikan kita berkuasa,” katanya dalam kenyataan.

“Sekarang bukan masa untuk pertengkaran politik tetapi untuk bekerja. Kita berdepan dengan pandemik, cabaran ekonomi dan kesukaran yang menjejaskan rakyat. Oleh itu, janganlah kita semua terganggu tetapi bekerjasama untuk mengatasi cabaran ini.”

Kenyataan Hajiji menyusul selepas timbul persoalan sama ada kerajaan GRS akan kekal utuh berikutan pergolakan antara PPBM dan Umno di Kuala Lumpur.

Bung Moktar, yang juga timbalan ketua menteri, semalam memberitahu Astro Awani di Kuala Lumpur, pihaknya akan terus bekerjasama dengan PPBM melalui GRS kerana bahagian negeri itu mempunyai kuasa autonomi untuk berbuat demikian.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengutus surat kepada Perdana Menteri dan Presiden PPBM Muhyiddin Yassin dengan berkata, Umno tidak bekerjasama dengan parti itu pada pilihan raya umum ke-15. Namun, ia hanya bersama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Parlimen dibubarkan.

Majlis Kerja Tertinggi Umno sebelum ini berkata akan membuat ketetapan mengenai kerjasama parti itu dengan PPBM pada perhimpunan agung tahunannya, yang dijadualkan pada 27 dan 28 Mac, selepas ia ditunda dua kali.

Berikutan itu, Setiausaha Agung PPBM Hamzah Zainudin berkata surat daripada Zahid mempunyai implikasi serius pada masa depan kerjasama antara kedua-dua parti berkenaan dan juga gabungan PN yang memerintah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.