
Ketika berada di lapangan terbang, Tony Fernandes berkata adegan itu mengingatkannya kepada filem “I am Legend” yang dibintangi oleh Will Smith.
“Tidak ada seorang manusia pun di situ, hanya deretan ratusan pesawat yang diparkir. Ia adalah masa untuk sama ada menangis atau mengambilnya sebagai satu peluang,” katanya ketika Forum Ekonomi Remaja yang diadakan melalui Facebook Live.
“Kami akan bertahan kerana program vaksinasi juga sudah dilancarkan,” katanya, sambil menambah bahawa AirAsia akan memfokus kepada digitalisasi dan terus mesra perniagaan.
Beliau berkata, AirAsia menguruskan tunai dan mengekalkan seramai mungkin kakitangan walaupun menghadapi masa-masa yang mencabar.
“Kami benar-benar berpaksi kepada transformasi digital dan membangunkan aplikasi super selain logistik dalam talian juga,” katanya.
AirAsia turut memfokus kepada sayap Fintech miliknya, BigPay dan mewujudkan perniagaan makanan agro.
BigPay menawarkan perkhidmatan kewangan, termasuk kredit kepada golongan berpendapatan rendah B40 dan M40.
Tambahnya, dunia digital akan mengubah cara kita bekerja. Oleh kerana itu, AirAsia sebagai syarikat penerbangan lebih banyak bercakap mengenai Fintech.
Fernandes berkata kekuatan dan sokongan daripada kakitangannya cukup besar. “Kami tidak akan membiarkan keadaan yang sukar mematahkan semangat kami.”
Beliau turut optimis bahawa penerbangan mungkin akan dibenarkan menjelang Ogos, bermula dengan dalam negeri, diikuti serantau dan terakhir AirAsia akan memberi tumpuan kepada destinasi antarabangsa.
Fernandes berkata, ujian Covid-19 kini semakin pantas kerana kaedah ujian terbaharu yang muncul seperti alat penguji nafas di Indonesia, sementara negara lain beralih ke ujian ketiak. Ini akan membantu membuka sempadan dengan lebih cepat dan membolehkan penerbangan dilakukan, tambahnya.