Jangan gunakan agensi kerajaan sebagai senjata politik tambah sokongan, kata PH

Jangan gunakan agensi kerajaan sebagai senjata politik tambah sokongan, kata PH

Tindakan berlandaskan undang-undang disokong tetapi penyalahgunaan agensi untuk tekan musuh politik tak boleh diterima.

Peringatan itu susulan beberapa siri tindakan agensi serta polis terhadap Ahli Parlimen pembangkang, pegawai serta keluarga mereka.
PETALING JAYA:
Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengingatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya tidak menggunakan agensi kerajaan sebagai ‘senjata politik’, bagi tujuan menambah sokongan kerajaan.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataan bersama hari ini berkata, peringatan itu susulan beberapa siri tindakan diambil agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta polis terhadap Ahli Parlimen pembangkang, pegawai serta ahli keluarga mereka.

“Pada waktu ini, kami difahamkan tindakan masih terus dilakukan dengan tekanan untuk Ahli Parlimen pembangkang menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Dari segi prinsip, kami menyokong sebarang tindakan yang berlandaskan hukum dan undang-undang. Tetapi sebarang penyalahgunaan institusi atau agensi dengan niat untuk mengganggu, menekan atau menakut-nakutkan musuh politik langsung tidak boleh diterima.

“Kami percaya ini telah dilakukan terhadap ramai termasuk Lim Guan Eng dan isteri, Larry Sng, Steven Choong, dan kini secara tidak langsung terhadap Dr Xavier Jayakumar,” kata mereka.

Menurut mereka, pertandingan politik di Malaysia wajib berlaku dalam suasana yang sihat, dengan amalan demokrasi yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan.

“PH juga kesal dengan tindakan pihak berkuasa ke atas perniagaan dengan pelbagai tuntutan kewangan yang tidak munasabah serta juga pembekuan akaun bank untuk menambahkan pendapatan kerajaan yang kian berkurangan.

“Tindakan ‘memeras’ perniagaan dalam keadaan kemelesetan ekonomi harus ditangguh kerana ia akan menyukarkan ‘survival’ perniagaan dan menjejaskan pekerjaan,” kata kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.