
Pemangku pengarah MAQIS Selangor Zamri Hashim berkata, pemeriksaan rutin yang dijalankan pada kira-kira 12.30 tengah hari ke atas empat kotak yang dibawa seorang lelaki tempatan menemui kesemua durian seberat 56 kilogram.
Lelaki berkenaan juga gagal mengemukakan permit eksport dan sijil fitosanitasi.
“Buah durian tersebut dipercayai untuk dihantar kepada majikannya di Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perbuatan mengeksport apa sahaja tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanah atau mikroorganisme tanpa permit adalah salah mengikut Seksyen 11(2), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.
Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali, katanya.
Menekankan bahawa pihaknya akan sentiasa tegas dan teliti dalam menjalankan aktiviti penguatkuasaan di pintu masuk Malaysia, Zamri berkata, “ia bagi menjamin keselamatan pertanian dan makanan negara.
“Di samping itu, untuk memastikan makanan yang keluar dari Malaysia mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan.”