
Timbalan Menteri Perpaduan Ti Lian Ker berkata, pengisytiharan darurat dilakukan bagi memastikan segala tumpuan kerajaan akan memfokus sepenuhnya kepada langkah menangani Covid-19.
“Semua keputusan dan dasar yang dibuat adalah berlandaskan maklumat dan keadaan semasa.
“Rakyat perlulah akur dan menghormati proses keputusan berkenaan kecuali jika keputusan yang dibuat itu di luar rangka perundangan dan kepentingan rakyat.
“Rakyat perlu baik sangka, jangan banyak buruk sangka kerana ia akan menimbulkan banyak masalah padahal ia bukan masalah,” katanya ketika menjadi ahli panel program Ruang Bicara terbitan Bernama TV semalam.
Program yang berlangsung selama sejam itu dikendalikan Sherkawi Jirim dan turut disertai bekas timbalan menteri pendidikan P Kamalanathan.
Ti juga berkata, walaupun mengalami pengurangan pendapatan akibat pandemik Covid-19, negara masih mampu memberikan pelbagai bantuan bukan hanya kepada golongan B40, malah kepada M40 serta komuniti perniagaan.
Kamalanathan pula berkata, beliau yakin Malaysia akan berjaya mengatasi ancaman pandemik Covid-19 di bawah kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Beliau juga percaya Muhyiddin akan menunaikan kata-katanya untuk membubarkan Parlimen bagi membuka laluan kepada pilihan raya umum selepas negara pulih daripada penularan pandemik itu.
“Tetapi buat masa ini, kita patut sokong usaha kerajaan untuk mengatasi Covid-19 terlebih dahulu.
“Selepas pandemik ini dapat diatasi dan hampir semua rakyat Malaysia divaksin, barulah kita boleh fikir mengenai pilihan raya,” katanya.