
Presiden Kumpulan AirAsia (Penerbangan) Bo Lingam berkata, Covid-19 menjejaskan banyak pihak, terutamanya industri pelancongan dan perhotelan.
“Untuk meneruskan aktiviti perjalanan rentas sempadan dengan cekap dan selamat, kita memerlukan rangka kerja yang dipersetujui bersama dan diselaraskan di peringkat global.
“Kini keperluan perjalanan di rantau ini bukan sahaja kompleks dan tidak seragam, malah gelembung perjalanan juga terhad dan tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

“Kami menyambut baik pas perjalanan tertentu yang diperkenalkan atau masih dalam tahap ujian, tetapi apa yang diperlukan untuk kembali memacu perjalanan udara antarabangsa adalah penyelarasan antara negara,” ujar beliau.
Beliau menambah industri perjalanan dan pelancongan harus bekerjasama melaksanakan satu set protokol dan prosedur tetap untuk tetamu seperti keperluan ujian dan vaksinasi, pas kesihatan digital yang dipersetujui bersama dan pengembangan gelembung perjalanan merangkumi sektor pelancongan rekreasi.
“Kita harus bekerjasama untuk memacu perjalanan udara dan menyambut penerbangan antarabangsa dalam masa terdekat, dan memberi sumbangan yang amat diperlukan untuk ekonomi di peringkat global.” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Bo berkata demikian berikutan tinjauan AirAsia baru-baru ini mengenai prosedur dan protokol Covid-19 di negara serantau seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina, China dan Australia.
Tinjauan tersebut mengesahkan bahawa keperluan perjalanan adalah berbeza di seluruh rantau Asean, menjadikan ia sukar kepada pelancong untuk memahami dan mengikutinya.
“Protokol perjalanan berbeza di negara lain di rantau ini turut menyulitkan operasi syarikat penerbangan dan pengendali pelancongan.
“Tanpa protokol perjalanan yang diselaraskan, pengesahan dokumen kesihatan dan perjalanan secara manual akan memakan masa dan mungkin terdedah kepada kesalahan dan penipuan, terutamanya dengan peningkatan penggunaan perakuan kesihatan palsu.
“Selain itu, kita menjangka 40 hingga 50% populasi di rantau ini akan divaksinasi menjelang suku tahun ketiga 2021.
“Justeru, polisi perjalanan harus diperbaharui secara berkala mengikut keadaan semasa, termasuklah kemungkinan untuk membatalkan keperluan kuarantin.
“Contoh yang baik adalah di Filipina yang baru-baru ini menyelaraskan semua keperluan perjalanan di dalam negara dan memansuhkan peraturan yang tidak relevan,” jelas Bo.
Laporan itu juga menyimpulkan bahawa gelembung perjalanan yang kini dilaksanakan di rantau ini hanya terhad kepada pelancong perniagaan dan perjalanan penting sahaja.
Pelancong perniagaan tidak dapat melonjakkan industri pelancongan kerana kebanyakan mesyuarat korporat kini dapat dilakukan secara dalam talian.
Cadangan utama adalah untuk mengembangkan gelembung perjalanan kepada pelancong rekreasi secara berperingkat bermula dengan destinasi di zon selamat.
Pengembangan ini dijangka akan memberikan kesan segera berdasarkan permintaan yang tinggi.
Tambahan pula, risiko perjalanan dapat dikurangkan melalui pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan pelbagai langkah keselamatan, termasuk perjalanan terkawal mengikut destinasi yang ditetapkan, jadual perjalanan tetap dan aplikasi pengesanan kontak.
Dalam pada itu, AirAsia baru-baru ini memperkenalkan inovasi terkini Scan2Fly, yang membolehkan tetamu mengimbas dan memuat naik dokumen perubatan mereka semasa proses daftar masuk dalam talian bagi menentukan kelayakan untuk terbang dalam masa nyata sebelum mereka tiba di lapangan terbang.
Scan2Fly dilancarkan sebelum pasport digital diluluskan di peringkat global untuk menyokong matlamat AirAsia menyediakan pengalaman perjalanan yang selamat dan tanpa sentuhan.
Scan2Fly juga boleh diintegrasikan dengan mudah di platform lain yang diluluskan di peringkat global dari negara berbeza berkenaan dengan penyelesaian pandemik dan vaksin.
AirAsia juga bakal melancarkan teknologi pengecaman wajah biometrik di lapangan terbang utama, bermula dengan klia2 di Malaysia pada April sebagai salah satu produk dan perkhidmatan baharu untuk menjadikan penerbangan lebih selamat dan lancar, katanya.