
Panglima Medan Timur Tentera Darat Mardzuki Muhammad berkata, ketibaan kumpulan pertama vaksin itu akan diberikan keutamaan kepada petugas barisan hadapan ATM.
“Antara yang tersenarai dalam kumpulan tersebut adalah petugas kesihatan, anggota ditugaskan bagi Ops Teras, Ops Benteng, Ops Penawar serta anggota yang kini ditugaskan di kawasan zon merah,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Pelancaran Program Derma Darah Hari Tentera Darat Ke-88 di Dewan Serbaguna, Kem Muara Tuang.
Beliau berkata, jumlah itu meliputi 35% daripada keseluruhan anggota ATM di Sarawak.
“Selebihnya pula akan mengikuti fasa kedua dan ketiga program vaksinasi di Sarawak”, katanya.
Mardzuki berkata, pihaknya juga meletakkan sasaran untuk memberi suntikan vaksin kepada seluruh anggota di Sabah dan Sarawak menjelang Ogos.
“Kita juga menyasarkan sehingga Ogos ini pemerintahan medan timur termasuk di Sabah akan divaksinkan sepenuhnya, termasuk ahli keluarga anggota petugas ATM,” katanya.
Bagi ahli keluarga tentera darat dan veteran tentera darat yang menepati kriteria, vaksin akan diberikan kepada kumpulan tersebut dalam fasa kedua dan ketiga.