Perak benar akad nikah di hotel, dewan komuniti mulai Jumaat

Perak benar akad nikah di hotel, dewan komuniti mulai Jumaat

Penganjuran majlis akad nikah dihadkan kepada 50% daripada kapasiti premis atau tidak melebihi jumlah maksimum 250 orang.

Pegawai tadbir agama daerah atau penolong pendaftar perkahwinan, perceraian dan rujuk boleh menangguh atau membatalkan majlis, sekiranya hadirin gagal mematuhi SOP ditetapkan.
IPOH:
Perak membenarkan majlis akad nikah diadakan di premis disewa seperti hotel dan dewan komuniti, selain masjid dan surau mulai Jumaat ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Mohd Yusop Hussin berkata, penganjuran majlis di masjid dan surau bagaimanapun perlu mendapat kebenaran pengerusi surau atau masjid.

“Berkuat kuasa Jumaat ini, majlis akad nikah diberi pilihan keutamaan untuk dilaksanakan di premis tersebut, termasuk di pejabat agama Islam daerah.

“Penganjuran di lokasi tersebut perlu mematuhi jumlah kehadiran, iaitu 50% daripada kapasiti premis atau tidak melebihi jumlah maksimum 250 orang.

“Selain itu, amalan norma baharu juga perlu terus dipraktikkan seperti kerap membasuh tangan, penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Yusop berkata, ketetapan baharu itu dibuat selaras pengumuman kerajaan berhubung perintah kawalan pergerakan (PKP) dan pelaksanaan Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mulai 24 Feb lalu.

Beliau berkata, arahan itu akan terus diguna pakai sehingga perubahan diberitahu kelak.

Katanya, pendaftar atau penolong pendaftar perkahwinan, perceraian dan rujuk (PPNCR) JAIPk bertanggungjawab memantau pematuhan SOP sepanjang majlis.

“Pengantin juga bertanggungjawab sepenuhnya ke atas setiap pelanggaran mana-mana peraturan yang dikuatkuasakan.”

Katanya, pegawai tadbir agama daerah atau PPNCR boleh menangguh atau membatalkan majlis, sekiranya hadirin gagal mematuhi tatacara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.