
Ia menyusul sehari selepas jawatankuasa khas mengenai akses kepada vaksin Covid-19 menyenaraikan GP, kontraktor Kementerian Kesihatan, doktor gigi di sektor swasta serta Ahli Parlimen dan ADUN bawah kategori dua.
Sementara itu, kategori pertama terdiri daripada pekerja kesihatan, di institusi awam dan swasta, termasuk di jabatan kesihatan negeri; mereka yang merawat pesakit dan juga di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Krisis (CPRC).
Bagaimanapun, Presiden MMA Dr Subramaniam Muniandy berkata, sejumlah doktor dan kakitangannya dijangkiti Covid-19 selepas merawat pesakit bergejala yang kemudian diuji positif virus berkenaan.
“Beberapa klinik terpaksa ditutup selama 14 hari kerana doktor dan kakitangannya harus dikuarantin,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, doktor terbabit melakukan pemeriksaan saringan komuniti Covid-19 akan meningkatkan lagi risiko dijangkiti.
“Menempatkan GP dalam kategori dua garis panduan bawah rancangan imunisasi Covid-19 kebangsaan menunjukkan mereka tidak diakui sebagai sebahagian daripada sistem penjagaan kesihatan arus perdana dan ia hanya akan melambatkan usaha mengawal pandemik,” katanya.
Doktor gigi dan kakitangannya, jelas Subramaniam juga berisiko dijangkiti Covid-19 kerana pesakit yang mendapatkan rawatan daripada mereka juga perlu membuka pelitup muka mereka untuk diperiksa dan dirawat.
“Kami berharap Jawatankuasa Khas mengenai bekalan vaksin Covid-19 akan mengkaji pengkategorian barisan hadapan dan menyenaraikan semua pekerja kesihatan yang terdedah kepada risiko bawah kategori satu dalam garis panduannya.
Malam tadi, seorang pakar kesihatan awam membantah keputusan kerajaan yang meletakkan GP dan doktor gigi dalam kategori dua senarai keutamaan bagi program imunisasi kebangsaan.
Dr Adeeba Kamarulzaman yang mempersoalkan perkara itu di Twitter berkata, golongan berkenaan lazimnya yang pertama berdepan pesakit dengan jangkitan respiratori akut teruk (SARI) dan penyakit seperti influenza (ILI) yang berkemungkinan adalah Covid-19.
Subramaniam turut bersetuju dengan perkara itu, dan menyatakan SARI dan ILI adalah gejala paling biasa pada pesakit dijangkiti Covid-19.