Lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran rumah teres

Lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran rumah teres

Hasil siasatan mendapat mangsa berusia 48 tahun itu dipercayai terperangkap dan gagal menyelamatkan diri.

Bomba mengambil masa lebih kurang setengah jam untuk mengawal kebakaran di rumah tersebut di Taman Pandan Jaya malam tadi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang lelaki warga tempatan ditemukan rentung di dalam kediamannya di Taman Pandan Jaya, Ampang, selepas rumah teres itu terbakar.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.30 malam tadi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, pihak kami mendapati rumah berkenaan sedang marak terbakar.

“Mangsa yang berusia 48 tahun terbakar 100% dan hasil siasatan dipercayai mangsa terperangkap serta tidak dapat menyelamatkan diri semasa kebakaran itu berlaku,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, rumah mangsa didapati terbakar 90% dan bomba berjaya mengawal kebakaran pada kira-kira 9 malam.

Punca kebakaran masih dalam siasatan, tambah beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.