Larry Sng ‘bijak’ keluar PKR, kerajaan PN lebih prihatin, kata Ahli Parlimen PPBM

Larry Sng ‘bijak’ keluar PKR, kerajaan PN lebih prihatin, kata Ahli Parlimen PPBM

Willie Mongin berkata Ahli Parlimen pemerintah menerima peruntukan RM2.5 juta semasa pentadbiran PN berbanding RM500,000 semasa pentadbiran PH.

Ahli Parlimen PPBM Willie Mongin berkata, dalam arena politik, setiap wakil rakyat perlu bijak memilih parti yang mengutamakan rakyat.
KUCHING:
Seorang Ahli Parlimen PPBM berpendapat tindakan Larry Sng keluar PKR dan menyokong Perikatan Nasional (PN) pilihan tepat, kerana ahli politik yang mementingkan rakyat perlu melihat parti mana yang sentiasa memberi sokongan kepada wakil-wakilnya.

Membandingkan Pakatan Harapan (PH) dengan PN, bekas wakil rakyat PKR itu pada sidang media hari ini berkata Ahli Parlimen pemerintah hanya diberi peruntukan sebanyak RM500,000 bagi tahun pertama untuk pembangunan prasarana di kawasan mereka ketika pentadbiran PH.

“Semasa PN pula, RM2.5 juta,” kata Willie Mongin kepada FMT selepas sidang media itu.

Terdahulu, Willie ketika mengulas keputusan Larry berkata setiap ahli politik mesti bijak memilih parti yang mampu mengutamakan rakyat.

“Saya akui setiap kerajaan mempunyai kelemahan dan kelebihannya sendiri, tetapi daripada apa yang saya lalui dibawah kerajaan PN, mereka amat prihatin terhadap pembangunan yang dapat dimanfaatkan oleh rakyatnya,” katanya.

Beliau menambah banyak projek yang dibatalkan pentadbiran PH diaktifkan semula oleh pentadbiran semasa.

“Terbukti kerajaan kini tidak mengetepikan pembangunan di Sarawak,” kata Ahli Parlimen Puncak Borneo itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.