Khairuddin yang juga menteri perusahaan perladangan dan komoditi berkata, PAS adalah parti yang hebat dari segi tarbiah dan semua ahli serta pemimpin walak atau setia kepada Hadi sebagai presiden.
“Khabar angin bukan berita patut disiarkan oleh media baik (beretika). Kerajaan PN (Perikatan Nasional) akan terus gagah dan PAS akan terus kekal bersama PN untuk kita lakukan terbaik untuk rakyat kita … Insya-Allah.
“Jadi, saya ingin menegaskan tiada perpecahan dalam pengurusan parti. Kita akan terus bekerja keras bagi memastikan PAS menang pilihan raya umum ke-15 (PRU15)… Insya-Allah,” kata beliau ketika ditemui selepas melancarkan Program Penempatan Jurutera dan Prasiswazah (EPIP) dalam Industri Kayu-Kayan 2021.
Sebelum ini, media melaporkan wujud satu rakaman audio didakwa perbualan antara Khairuddin dan Mursyidul Am PAS Hashim Jasin mengenai ketidakpuasan hatinya terhadap beberapa keputusan dibuat Hadi selaku presiden.
Khairuddin yang juga setiausaha Majlis Syura PAS didakwa tidak berpuas hati dengan tindak tanduk Hadi dalam membuat keputusan berkaitan kerjasama antara PAS dengan PPBM dan Umno serta pelbagai isu dalaman lain.
Mengulas lanjut, Khairuddin turut menafikan PAS kini menghadapi krisis dalaman berikutan wujudnya dua kumpulan dikenali sebagai “Geng Publika” dan “Geng Ustaz” seperti ditularkan di media sosial.
Geng Publika, yang dikatakan pro-PPBM, terdiri daripada Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.
Khairuddin dan ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, dikatakan sebagai Geng Ustaz yang berpihak kepada Umno.
Ditanya mengenai kedudukan parti itu dalam Muafakat Nasional (MN), Khairuddin berkata PAS masih kekal dalam gabungan itu dan akan terus memperkukuhkan PN sebagai persiapan menghadapi PRU15.
“Bagi PAS, kita tetap dengan pendirian untuk memperkukuhkan MN dan mempertahankan PN. Ini bererti PAS mahu semua parti bersama untuk memperkasakan hubungan PAS dan UMNO menerusi MN serta akan mempertahankan kerajaan PN bersama parti gabungan lain seperti sering ditegaskan presiden Umno,” kata beliau.