Ralph Marshall CEO Digital Nasional Berhad

Ralph Marshall CEO Digital Nasional Berhad

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Asri Hamidon pula dilantik sebagai pengerusi DNB.

Ralph Marshall, bekas bos Maxis dan Astro, dilantik sebagai CEO Digital Nasional Berhad. (Gambar business.org)
PETALING JAYA:
Ralph Marshall dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif Digital Nasional Berhad (DNB), sebuah Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang ditubuhkan kerajaan bagi pembangunan teknologi 5G.

Manakala, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Asri Hamidon dilantik sebagai pengerusi DNB.

Sementara itu, Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri, Yusof Ismail bersama dua lagi individu Mohamed Sharil Tarmizi dan Muthanna Abdullah dilantik sebagai ahli lembaga pengarah.

Lantikan itu selaras pengumuman rangka tindakan digital Malaysia, MyDigital, yang dibuat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 18 Feb lalu serta pengumuman Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai pelancaran 5G di Malaysia.

“Gabungan lantikan profesional dengan pengkhususan dalam sektor seperti kewangan awam, penguatkuasaan telekomunikasi, teknologi maklumat, telekomunikasi dan perundangan merupakan kombinasi kemahiran dan pengalaman yang tepat untuk membina, memiliki dan menguruskan rangkaian 5G Malaysia untuk pelancaran komersial seluruh negara. Ahli pengurusan kanan DNB ini akan diumumkan pada masa terdekat,” kata Kementerian Kewangan dalam kenyataan.

Katanya, DNB akan menawarkan perkhidmatan 5G melalui model borong yang dirangka untuk memastikan ketelusan dan pelaksanaan lebih baik.

“Ia akan diuruskan berlandaskan kerangka governans yang sesuai, proses tender terbuka bagi pembangunan infrastruktur 5G, serta amalan terbaik global untuk memastikan pengurusan yang mantap.

“Semua pemain perkhidmatan telekomunikasi akan mendapat akses terbuka, adil dan setara di dalam mendapatkan perkhidmatan rangkaian 5G secara borong untuk pembangunan perkhidmatan runcit berlandaskan teknologi 5G ini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata pelan rangkaian 5G bertujuan memastikan kemajuan sosio-ekonomi dan keterangkuman bagi semua rakyat.

“Kita tidak boleh ketinggalan di kala seluruh dunia pantas menggunapakai teknologi seperti kecerdasan buatan, kenderaan pandu sendiri, robotik, Internet of Things (IOT), pengkomputeran awan dan digital twin untuk terus mencipta peluang baru bagi pertumbuhan masa hadapan.

“Bagi membantu Malaysia mencapai aspirasi 5G negara, kerajaan berharap dapat bekerjasama dengan sektor swasta dalam industri telekomunikasi domestik,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, teknologi 5G akan mula dinikmati rakyat secara berperingkat menjelang hujung tahun ini dan Malaysia akan menjadi antara negara pertama di Asia Tenggara yang membina ekosistem perkhidmatan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.