
Menteri Kanan (Pendidikan) Mohd Radzi Jidin berkata, biarpun murid pra sekolah dan darjah 1 mungkin baru pertama kali menjejakkan kaki ke sekolah namun tinjauannya mendapati tahap kepatuhan mereka kepada SOP dan arahan guru amat tinggi.
Justeru, Radzi menolak andaian dan kebimbangan sesetengah pihak bahawa murid pra sekolah, tahun 1 dan 2 sukar memahami dan mengikut SOP ketat ditetapkan oleh KPM.
“Kadang-kadang kita merasakan anak kecil ini sukar mematuhi arahan, tetapi jika kita tinjau sendiri, Alhamdulillah. Saya sendiri sempat melawat dua sekolah di Putrajaya hari ini dan kita lihat Alhamdulillah sesi persekolahan pagi ini berjalan lancar dan mereka mematuhi SOP ditetapkan terutama dalam kelas.
“Tujuan utama kita mulakan sesi persekolahan untuk murid pra sekolah, tahun 1 dan 2 terlebih dahulu adalah untuk memastikan kanak-kanak membiasakan terlebih dahulu dengan suasana dan SOP baru diperkenalkan sebelum abang dan kakak mereka bersekolah mulai Isnin depan,” katanya pada sidang media.
Dalam pada itu, beliau berkata, antara SOP diperketatkan adalah mengehadkan pergerakan murid dalam kelas dan ibu bapa hanya dibenarkan menghantar anak mereka di pintu pagar sekolah dan tidak dibenarkan menunggu.
Selain itu, Radzi berkata murid juga digalakkan membawa bekal makanan dan minuman dari rumah dan dibenarkan makan di dalam kelas bagi menjaga penjarakan fizikal.
Katanya, KPM juga sudah memaklumkan kepada pihak sekolah supaya menggunakan pelbagai kaedah bagi mengurangkan kesesakan ketika murid pulang ke rumah selepas sesi persekolah tamat setiap hari.
“Guru besar boleh melihat kedudukan dan persekitaran sekolah bagi mengurangkan kesesakan di hadapan pintu pagar utama apabila murid dibenarkan pulang selepas sesi persekolahan tamat.
“KPM juga membenarkan pihak sekolah melepaskan murid balik secara berperingkat bagi mengelakkan kesesakan dan ibu bapa berasak-asak untuk mengambil anak mereka,” katanya.
Namun, Radzi menjelaskan semua perancangan berkenaan tidak akan berjaya jika ibu bapa dan penjaga sendiri enggan memberikan kerjasama kepada pihak sekolah.