
Berikut adalah soalan dan jawapan wawancara khas bersama Bernama dan beberapa organisasi media sempena setahun Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri di kediamannya di Bukit Damansara.
S: Perisytiharan darurat untuk mengawal Covid-19 terus menjadi bahan politik termasuk daripada rakan sekutu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sendiri, kononnya kerajaan terpaksa memohon darurat kerana sudah hilang sokongan majoriti di Parlimen. Apa komen Tan Sri?
Agong berkenan, esok diwartakan, boleh jalan. Kalau nak tunggu proses Parlimen, boleh juga, tapi biasanya ia akan mengambil masa yang panjang, sedangkan Covid ini tak boleh tunggu esok, dia kena selesai hari ini.
Sebab itu bila kita buat keputusan untuk kuat kuasa, kita dah pinda dah Akta 342, Akta 446. Akta 342 berkenaan dengan kesihatan, umpama kalau dulu maksimum denda RM1,000, besar kecil RM1,000 saja, dah pinda dah boleh naik sampai RM10,000 atau kalau melibatkan syarikat dan seumpamanya boleh sampai RM50,000. Itu tujuan apa? Untuk mengekang, jangan ada pelanggaran untuk penguatkuasaan dan sebagainya.
Guna hospital swasta
Atau dulu tentera tak boleh tangkap, kalau dia nak bantu polis, dia tak boleh buat apa-apa. Jadi kita berikan kuasa untuk dia boleh menahan dan menangkap ikut kuasa polis yang ada. Kemudian kalau zaman biasa, macam sekarang ni zaman luar biasa susah, hospital kita sampai peringkat orang kata nak pecah, kapasiti tak boleh mampu nak tampung, jadi kita nak buat macam mana? Kita bina hospital sementara, MAEPS misalnya, dengan kuasa yang ada ni, kita boleh ambil alih secara sementara hospital swasta dan kalau hospital termasuklah dengan katil dia, alatan dia, doktor-doktor dia, jururawat dia. Boleh, kalau ada ini (kuasa ordinan), ini sebab kita gunakan itu. Tapi bagusnya di negara kita ni, walaupun ada akta tu, mereka bersedia secara sukarela. Jadi, sekarang ni kita dapat 1,300 katil tambahan, kalau nak buat 1,300 katil, cuba kira berapa juta kita nak belanja?
Pematuhan perumahan untuk pekerja asing
Kita boleh gunakan ambulans, ambulans ni takkan dia nak bagi, tapi kerana akta darurat, dia boleh gunakan itu. Jadi banyak lagi perkara-perkara yang kita dah buat dan bila kita dapati antara perkara yang menjadi masalah besar kita dalam Covid ini ialah kerana majikan tak ikut undang-undang Akta 446, apa dia Akta 446? Itu di bawah sumber manusia, dalam Kementerian Sumber Manusia ada akta yang mewajibkan majikan mesti sediakan tempat tinggal yang bersesuaian. Hampir 70% tak ikut itu. Bila tiada Covid tak tahulah, bila ada Covid tak ikut, itu “melecup” naik sana, naik sini.
Tindakan segera tangani berita palsu
Sekarang kita dah pinda sikit akta tu, boleh ambil tindakan cepat. Yang akan kita kemukakan pada Agong untuk perkenan sekarang ini ialah berita palsu berkenaan Covid. Dalam masa seminggu kita draf akta, peguam negara buat semua sekali, lulus oleh Kabinet, nanti bawa pada Agong, kalau Agong berkenan, tandatangan, diwartakan, bermakna kalau ada orang cerita macam-macam pasal Covid yang berita palsu, jadi pihak yang ada kuasa boleh menahan, menangkap atau ambil tindakan segera.
Jawatan perdana menteri
Jadi saya sebutkan ini bukan makna darurat tu untuk darurat supaya saya boleh duduk lama jadi perdana menteri. Saya pun tak tahu parti mana sekarang yang mempunyai jumlah kerusi yang lebih besar daripada saya. Dulu adalah contoh (cubaan) nak tunjukkan, tapi tak terbukti. Saya yakin bahawa saya mempunyai sokongan yang besar.
Saya yakin kedudukan saya ini adalah sah di sisi undang-undang. Saya tak boleh duduk sebagai PM haram. Saya buat kerja betul, tu sebabnya. Jadi saya tak bimbang itu. Tapi perisytiharan darurat ini bukan soal politik. Ada orang politik faham sebab politik, tidak. Politik tiada penggunaan darurat, tapi Covid ini perlukan darurat.
Dengan adanya kuasa Ordinan Darurat, maka kita boleh bertindak secara lebih berkesan, bila dah selesai esok, tak perlu lagilah. Kalau darurat yang dahulu, sepanjang masa darurat, tiada tempoh masa. Saya bagi sampai 1 Ogos, tapi kalau boleh selesai awal, Jawatankuasa Khas Bebas yang dah ditubuhkan kata dah boleh (tamat), saya ikut sajalah.
Tak bimbang sokongan di Parlimen
Bukan saya nak duduk sepanjang dua tahun, pasal kalau dulu darurat sampai dua tahun. Kita tak perlu itu. Bila kita gunakan untuk tujuan dah selesai, balik semula (seperti biasa). Kita pun tak nak selama-lama dikongkong peraturan sebegini. Sebab itu tujuan saya bukan itu. Jadi saya harap rakyat faham, bukan pasal soal takut tak dapat majoriti di Parlimen.
Dulu orang cabar saya, pergi ke Parlimen, dia kata tak dapat majoriti, 27 kali Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) kita diluluskan. Saya bukan nak mendabik dada, itu rekod di Parlimen dulu, Bajet 2021 lulus. Kalau tak dapat majoriti, macam mana dapat kelulusan. Jadi saya harap rakyat jangan ragu kerana saya tahu kedudukan saya, dan saya hanya menjalankan tugas, amanah untuk menjaga rakyat, ini yang saya buat sekarang.
S: Pakar epidemiologi berkata kira-kira setahun selepas vaksin diambil, barulah kehidupan kita kembali normal. Adakah Tan Sri melihat kemungkinan pilihan raya umum diadakan tahun ini?
Itu yang pertama. Soal yang kedua, darurat akan ditamatkan tu, tertakluk kepada apa yang dibuat oleh Jawatankuasa Khas Bebas yang memang tujuannya satu saja, bila dapat maklumat darurat boleh tamat daripada pihak kesihatan, semua dah okey, kat luar sebahagian besar dah kena suntik ataupun kalau tak semua suntik, dia dah turun ke satu kadar, katalah dua digit. Lepas tu laporan pakar epidemiologi kata Malaysia dah clear, dah okey, kita tamatkan.
Bukan kerajaan yang akan putuskan. Jawatankuasa itu yang akan menasihat Agong, “that now that is over, we can end the darurat, back to normal”.
PRU pada masa sesuai
Soal ketiga tadi, bila PRU? kalau ikut Perlembagaan, bila mana kerajaan yang mentadbir negara sekarang berpendapat perlu adakan PRU, maka perdana menteri yang akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk minta supaya Parlimen dibubarkan. Itu cara dalam Perlembagaan, jadi bila dinasihat, maka Agong nanti perkenan, maka barulah Parlimen dibubarkan.
Persoalannya ialah bila? Anda boleh jawab? Jadi bila sampai masa yang sesuai, sebab tu perkara pertama ialah selesaikan Covid ini dulu, pasal dulu apa berlaku di Sabah? Kita tak kisah pasal undang-undang kita kata perlu adakan pilihan raya (negeri), maka sampai sekarang pun (Covid) tak selesai lagi, lepas tu ada pilihan raya kecil lagi di sana, iaitu di Bugaya, lepas tu di Batu Sapi, pasal takut Covid kita gantung, itu cerita dia, jadi yang mustahak kita selesaikan ini dulu, selepas selesai, saya tak nak tunggu sehari pun. Bukan kita bimbang apa-apa pun, itu paling mustahak.