Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 3,251 pesakit sembuh yang menjadikan 273,417 kes pulih daripada 300,752 kes Covid-19 dengan 1,130 kematian yang direkodkan setakat ini.
Katanya, terdapat 26,205 kes aktif dengan 93 daripada 202 pesakit di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.
Daripada jumlah kes baru itu, beliau berkata, sebanyak 2,435 kes ialah penularan tempatan dan dua lagi kes import.
Katanya, kes penularan tempatan membabitkan 1,226 warganegara dan 1,209 warga asing.
Selangor mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi, iaitu 914 kes.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 823 kes (90%) daripada kluster dan saringan kontak rapat,” katanya dalam kenyataan.
Ia diikuti Johor (340), Kuala Lumpur (337), Perak (287), Sarawak (171), Sabah (134), Pulau Pinang (105), Negeri Sembilan (65), Kelantan (33), Kedah (13), Terengganu (12), Pahang (11), Melaka (10), Putrajaya (3) dan Labuan (2).
Perlis ialah satu-satunya negeri yang tidak melaporkan sebarang kes baru.
Hisham berkata, 85 kes baru yang dilaporkan itu berkaitan kluster di penjara yang membabitkan Tembok Tapah (77), Tembok Taiping (3), Tembok Sungai Udang (2), Penjara Jalan Sungai Jelok (2) dan Penjara Jalan Harapan (1).
Beliau berkata, sembilan kematian yang dilaporkan itu membabitkan lapan warganegara dan seorang warga asing berusia 57 hingga 102 tahun.
Katanya, semua warganegara itu mempunyai latar belakang penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang kronik.