Pasca program vaksinasi: Malaysia, UK teroka peluang kerjasama mengenai Covid-19

Pasca program vaksinasi: Malaysia, UK teroka peluang kerjasama mengenai Covid-19

Kerjasama itu, antara lain, melibatkan program vaksinasi timbal balas rakyat kedua-dua negara itu yang melibatkan diplomat, pelajar dan ekspatriat.

Menteri Luar Malaysia Hishammuddin Tun Hussein bersama rakan sejawatnya dari UK, Setiausaha Luar Dominic Raab bersetuju mengadakan perbincangan secara bersemuka, bagi meningkatkan kerjasama di era pasca-Covid-19. (Gambar FMT/AP)
KUALA LUMPUR:
Malaysia dan United Kingdom (UK) akan meneroka jalinan kerjasama berhubung Covid-19 secara lebih spesifik, selepas pelancaran program vaksinasi kedua-dua negara.

Perkara itu merupakan antara isu yang dibincangkan antara Menteri Luar Malaysia Hishammuddin Tun Hussein bersama rakan sejawatnya dari UK, Setiausaha Luar Dominic Raab menerusi perbualan telefon semalam.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, kerjasama itu meliputi program vaksinasi timbal balas rakyat kedua-dua negara yang melibatkan diplomat, pelajar dan ekspatriat, gelembung perjalanan timbal balik dan jaminan akses vaksin buatan UK untuk Malaysia.

“Kedua-dua menteri juga bersetuju untuk mengadakan perbincangan secara bersemuka, bagi meningkatkan kerjasama di era pasca-Covid-19,” demikian menurut kenyataan itu.

Hishamuddin pada masa sama, turut mengulangi sokongan kuat Malaysia terhadap permohonan UK, untuk menjadi Rakan Dialog ASEAN selepas mengambil kira hubungan substantif dan prospek UK yang sedia ada, dalam pembangunan komuniti ASEAN.

Kenyataan itu menyatakan, kedua-dua menteri juga bertukar-tukar pandangan mengenai situasi semasa di Myanmar, dan Setiausaha Luar Raab menyatakan sokongannya terhadap inisiatif Malaysia, Indonesia dan Brunei, untuk mengadakan Mesyuarat Menteri ASEAN tidak rasmi pada minggu hadapan.

Mengenai penganjuran Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP26) oleh UK tahun ini, Wisma Putra memaklumkan kedua-dua menteri berkenaan menyatakan komitmen terhadap Perjanjian Iklim Paris mengenai perubahan iklim.

“Hishammuddin turut mengalu-alukan kedatangan Setiausaha Luar Raab ke Malaysia pada tahun ini, bagi mengekalkan momentum kerjasama yang sedia ada dan mengukuhkan lagi hubungan dua hala di antara Malaysia dan UK,” menurut kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.