
Naib presiden Amanah itu berkata, pertindihan itu berlaku apabila peruntukan kuasa untuk menggubal undang-undang syariah terletak pada negeri, namun bagi memastikan keadilan, ia tidak boleh digubal dalam keadaan bercanggah dengan peruntukan undang-undang yang digubal di Parlimen.
“Saya terikat dengan doktrin perundangan ini semasa menjalankan tugas saya sebagai ahli eksekutif. Dalam kes diputuskan Mahkamah Persekutuan semalam, doktrin ini terpakai setakat mana percanggahan itu dan menjadi asas kepada keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.
“Banyak aspek dari sudut bentuk hukuman, jenis hukuman bercanggah antara negeri dan ketiadaan peruntukan pemulihan dikenal pasti.
“Percanggahan ini tidak melambangkan ketertiban dan identiti perundangan syariah yang sepatutnya selaras dan seragam dari sudut hukuman dan jenayahnya antara negeri,” katanya di Facebook.
Semalam, Mahkamah Persekutuan memutuskan badan perundangan negeri Selangor tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan undang-undang syariah yang menjadikan seks luar tabii satu kesalahan.
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, yang mempengerusikan panel sembilan hakim berkata, kuasa utama untuk meluluskan undang-undang jenayah terletak pada Parlimen.
Tengku Maimun berkata, Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, yang memperuntukkan seks luar tabii menjadi satu kesalahan, adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Bahkan, Seksyen tersebut juga dilihatnya sebagai tidak konsisten dan tidak sah.
Mujahid bagaimanapun berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan itu bukanlah isu yang perlu disensasikan masyarakat, kononnya jenayah seks luar tabii termasuk amalan LGBT seolah-olah diberi laluan.
“Saya menasihati semua pihak supaya hormatilah keputusan dan berusahalah dalam keluasan ruang yang ada melihat syariat dalam skop yang lebih terbuka, inklusif dan progresif.
“Banyak aspek lain dari perundangan wakaf dan zakat boleh diperkasakan lagi tanpa masalah pertindihan kuasa. Pemerkasaan aspek perundangan Wakaf dan Zakat akan berkhidmat untuk meningkatkan sosio ekonomi umat yang lebih kritikal kita utamakan pada waktu ini,” katanya.