Beliau mengulas keputusan kerajaan meningkatkan denda hingga RM10,000 bagi individu yang melanggar PKP dan maksimum RM50,000 bagi syarikat.
Kata Najib di Facebook, walaupun beliau menyokong hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, namun bukan semua kesalahan serius dan tidak wajar untuk tindakan diambil secara pukul rata.
“Misalnya, tidak pakai atau salah pakai mask (pelitup muka), gagal mematuhi penjarakan fizikal atau keluar rumah tanpa alasan kukuh berbeza dengan ingkar arahan kuarantin wajib, potong gelang kuarantin, rentas negeri tanpa kebenaran, gagal melapor diri sebagai kontak rapat kes positif atau berpesta ketum beramai-ramai di hotel atau rumah sewa,” katanya.
Beliau berkata, bagi kesalahan serius paling lazim dalam kalangan rakyat yang mungkin tidak disengajakan, hukuman atasnya perlu bersifat pengajaran dan dinaikkan secara berperingkat.
Najib memberi contoh bagi kesalahan kurang serius, denda yang sewajarnya dikenakan adalah hanya RM1,000 bagi kesalahan pertama dan ditingkatkan setiap kali kesalahan tersebut diulang sehingga ke nilai maksima RM10,000.
“Kaedah hukuman progresif ini diguna pakai oleh beberapa negara lain dan diterima rakyat di sana, sebab tidak ada sesiapa akan bersimpati kepada pesalah degil yang berulang-kali melanggar SOP,” katanya.
Beliau berkata, pastinya ramai akan tidak berpuas hati sekiranya terus dikenakan denda RM10,000 bagi kesalahan pertama, memandangkan SOP yang ditetapkan kerajaan sendiri tidak konsisten sehingga memeningkan rakyat dan pegawai penguatkuasa.
Rakyat juga akan menjadi lebih marah sekiranya berlaku lagi dwistandard antara hukuman terhadap rakyat biasa dengan ahli politik, kata beliau.
“Ia akan menjadi lebih parah lagi bagi wakil rakyat sebab sebarang denda melebihi RM3,000 akan menyebabkan hilang kelayakan sebagai wakil rakyat,” katanya.
Terdahulu, Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 terkini yang diterbitkan di laman web Warta Persekutuan semalam memperuntukkan denda hingga RM10,000 bagi individu yang melanggar peraturan ditetapkan PKP.
Ordinan yang akan berkuat kuasa mulai 11 Mac itu turut menyatakan syarikat yang melanggar peraturan PKP boleh dikenakan denda maksimum hingga RM50,000.