
Pemimpin kerajaan dan pembangkang tampak bersetuju bahawa pilihan raya serentak merupakan penyelesaian tepat.
Abdul Karim Rahman Hamzah, pemimpin kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti tonggak dalam gabungan kerajaan GPS berkata, penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) semasa akan tamat secara automatik pada 6 Jun dan pilihan raya negeri mesti diadakan dalam tempoh 60 hari pembubarannya.
Bagaimanapun, pilihan raya tidak boleh diadakan sehingga 1 Ogos berikutan pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
“Jadi kita tidak boleh mengadakan pilihan raya negeri ke-12 melainkan Agong membenarkannya atau tempoh darurat berakhir lebih awal.
“Jika ia berlaku, saya percaya pilihan raya umum dan negeri akan diadakan serentak kerana DUN akan tamat dalam masa terdekat, manakala Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu mengadakan pilihan raya kilat susulan masalah sokongan yang dihadapinya,” katanya kepada FMT.
“Kosnya terlalu mahal dan sukar untuk mengadakan dua pilihan raya selang beberapa bulan. Besar kemungkinan ia akan diadakan serentak.”
Sarawak adalah satu-satunya negeri yang mengadakan pilihan raya negeri berasingan daripada pilihan raya umum berikutan isu saiz dan kebolehcapaian.
Negeri itu mengadakan pilihan raya negeri dan Parlimen serentak pada 1970 dan 1974.
Semasa pilihan raya umum 1978, Sarawak menolak untuk mengadakan pilihan raya negeri, sebaliknya, ia diadakan pada tahun berikutnya.
Ahli Parlimen DAP Bandar Kuching Dr Kelvin Yii tidak bersetuju pilihan raya diadakan pada Ogos, tetapi yakin pilihan raya umum dan negeri harus diadakan serentak.
Kata beliau, masih terdapat risiko tinggi untuk lonjakan kes Covid-19 semasa pilihan raya sekiranya 70% hingga 80% daripada rakyat negara ini belum menerima vaksin menjelang waktu itu.
“Namun, jika Parlimen dibubarkan, kita harus mengadakan kedua-dua pilihan raya (umum dan negeri Sarawak) serentak, satu keputusan kewangan yang bijak.
“Wang yang tidak dibazirkan dengan mengadakan pilihan raya berasingan dapat digunakan untuk menolong rakyat semasa wabak ini,” kata beliau.
Setiausaha Agung Parti Sarawak Bersatu (PSB) George Lo berkata, parti itu menentang keras pilihan raya diadakan sehingga semua orang yang keluar mengundi dijamin selamat.
Beliau berkata, pilihan raya umum perlu diadakan untuk mengembalikan kestabilan politik, tetapi ia hanya patut diadakan selepas keadaan Covid-19 terkawal kerana keperluan politik tidak boleh diutamakan mendahului kebajikan rakyat.
“Kami sudah bersedia sama ada pilihan raya Sarawak diadakan secara berasingan atau serentak dengan pilihan raya umum, asalkan ia selamat untuk diadakan,” katanya.
Baru-baru ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, pilihan raya umum ke-15 boleh diadakan pada suku akhir 2021 setelah separuh daripada rakyat menerima vaksin.
Beliau berkata, “tidak mustahil” untuk pilihan raya diadakan tahun ini; ia mungkin diadakan seawal September, kata beliau kepada CNA dalam satu wawancara eksklusif.
Namun beliau berkata, ini bergantung kepada keberhasilan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dalam memvaksinasi sekurang-kurangnya 50% hingga 60% daripada populasi, dan sekiranya Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah percaya “semuanya terkawal”.