
Pendatang asing terbabit, yang menurut aktivis termasuk pencari suaka yang rentan, meninggalkan Malaysia pada Selasa dengan kapal tentera laut Myanmar dari pangkalan tentera laut di Lumut, beberapa minggu selepas rampasan kuasa berlaku di Myanmar.
Kumpulan hak asasi mengecam rancangan itu, dan beberapa jam sebelum pengusiran tersebut berlaku, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan ia dihentikan sementara untuk memberi laluan kepada bantahan undang-undang daripada aktivis.
AS, yang meningkatkan penerimaan pelarian di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden dan mengumpul sokongan untuk membatalkan rampasan kuasa di Myanmar, berkata, mereka “bimbang” dengan tindakan Malaysia, yang mempunyai hubungan mesra dengan Washington beberapa tahun kebelakangan ini.
Jurucakap Jabatan Negara AS Ned Price berkata, tentera di Myanmar “mempunyai sejarah panjang penganiayaan hak asasi manusia terhadap masyarat beragama dan etnik minoriti”.
“Kami terus mendesak semua negara di rantau (Asia Tenggara) yang sedang mempertimbangkan pengusiran pendatang asing kembali ke Burma untuk menghentikan (tindakan tersebut) sehingga UNHCR dapat menilai sama ada terdapat isu perlindungan untuk pendatang asing tersebut,” kata Price kepada wartawan di Washington, merujuk kepada Pesuruhjaya Tinggi Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian.
ihak berkuasa Malaysia tidak memberikan penjelasan mengapa ia mengabaikan perintah mahkamah dan menghantar pulang 1,086 pendatang asing tersebut.
Dalam kenyataan bersama, empat Ahli Parlimen pembangkang mengecam pengusiran “tidak berperikemanusiaan” itu dan menyarankan pegawai kerajaan dihukum kerana tidak mengendahkan keputusan mahkamah.
“Tindakan ini adalah gambaran jelas bahawa kerajaan tidak menghormati proses mahkamah yang sedang berlangsung dan memberi imej buruk kepada Malaysia berkenaan hak asasi manusia,” kata mereka.
Amnesty International, salah sebuah kumpulan yang membantah pengusiran itu, berkata, kerajaan “berhutang penjelasan kepada rakyat mengapa ia memilih untuk melanggar perintah mahkamah”.
“Pengusiran berbahaya ini belum diteliti dengan tepat dan meletakkan individu dalam risiko yang besar,” kata Katrina Jorene Maliamauv, pengarah eksekutif Amnesty’s Malaysia.
Pegawai imigresen Malaysia menegaskan tidak ada golongan minoriti Rohingya, yang tidak diiktiraf Myanmar sebagai rakyat, atau pencari suaka yang diusir – kenyataan yang diragui kumpulan hak asasi.
Sejak 2019, pihak berkuasa menyekat akses UNHCR kepada pusat tahanan imigresen, yang bermaksud mereka tidak dapat menilai pendatang asing mana yang benar-benar mencari suaka dan patut dibenarkan tinggal di Malaysia.
Jarang sekali NGO membantah langkah pengusiran, tetapi dalam kes terbaru ini, mereka khususnya sangat prihatin dengan situasi hak asasi manusia yang semakin buruk di Myanmar sejak rampasan kuasa berlaku.