Aziz Bari beri keterangan lebih sejam kepada polis berhubung ‘FB Live’

Aziz Bari beri keterangan lebih sejam kepada polis berhubung ‘FB Live’

Ia dipercayai berkaitan isu dibincangkan berkaitan darurat dan Yang di-Pertuan Agong.

Aziz Bari ditemui media selepas memberikan keterangan di Balai Polis Lahat berkaitan siaran langsung Facebook berkaitan darurat bulan lalu.
IPOH:
Timbalan Pengerusi DAP Perak, Abdul Aziz Bari dipanggil memberi keterangan lebih sejam di Balai Polis Lahat hari ini.

Aziz berkata, beliau dipanggil polis untuk memberi keterangan bermula jam 11.45 pagi dan selesai kira-kira jam 1 tengah hari.

“Siasatan sudah pun selesai dan keputusan terpulang kepada pihak polis.

“Apa yang boleh saya katakan adalah ia berkaitan isu Yang di-Pertuan Agong dan siasatan dan darurat yang pernah saya bincangkan sebelum ini melalui ‘FB Live’.

“Saya rasa ada pihak yang tidak selesa dengan apa yang saya cakap sebelum ini dan cuba dijadikan bahan laporan yang diambil di luar konteks dan saya dianggap sebagai mahu melagakan institusi Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada pemberita di perkarangan Balai Polis Lahat selepas memberi keterangan hari ini.

Ketua Pembangkang Pakatan Harapan (PH) DUN Perak dan ADUN Tebing Tinggi itu berkata, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada polis untuk tindakan lanjut termasuk jika mahu menyerahkannya kepada Jabatan Peguam Negara untuk pendakwaan.

“Saya akur dan sedia beri kerjasama. Setakat ini hanya saya yang dipanggil berkaitan isu ini, yang lain saya tidak tahu tetapi yang pasti siasatan dibuat mengikut Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

FMT Isnin lalu melaporkan, Aziz mungkin berdepan tindakan polis berhubung kenyataannya berkaitan darurat dan Yang di-Pertuan Agong yang dibuatnya dalam acara disiarkan secara langsung di Facebook berikutan ada laporan polis dibuat terhadapnya.

Terdahulu, media melaporkan kertas siasatan bawah undang-undang hasutan dan multimedia dibuka terhadap Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Ketua Pengarang Malaysiakini, Steven Gan atas komen mereka selepas Mahkamah Persekutuan mendapati portal berita itu bersalah menghina mahkamah Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Adzli Abu Shah mengesahkan dua laporan polis berasingan dibuat seorang individu daripada sebuah NGO berpangkalan di Gurun, Kedah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.