
Ahli Parlimen pembangkang itu dalam kenyataan bersama berkata, Parlimen boleh diadakan tertakluk kepada SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) seperti dilaksanakan tahun lalu.
“Persidangan Parlimen adalah sangat penting untuk memastikan segala agenda dan langkah untuk membendung Covid-19 dapat dibahaskan oleh Ahli Parlimen selain memastikan semak dan imbang terhadap segala keputusan dibuat pihak eksekutif,” katanya.
Kenyataan itu ditandatangani Saifuddin Nasution (Kulim-Bandar Bharu), Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), dan Loke Siew Fook (Seremban).
Terdahulu, mereka memaklumkan jawatankuasa berkenaan sudah mengadakan mesyuarat pertama pada 18 Feb lalu secara kehadiran fizikal dan sidang video.
Mesyuarat seterusnya dijadual diadakan hari ini.
Dalam pada itu, mereka berkata keputusan untuk mengembalikan persidangan Parlimen juga akan memberikan keyakinan kepada dunia luar dan pelabur asing mengenai komitmen kerajaan terhadap sistem demokrasi berparlimen dan prinsip kedaulatan undang-undang.
“Kami akan menyampaikan pandangan ini secara konsisten di mesyuarat Jawatankuasa Khas Bebas Darurat dan berharap ia akan dipersetujui oleh ahli jawatankuasa tersebut sebagai pendirian bersama jawatankuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Seramai 19 ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 diperkenankan Agong sebelum ini untuk menjalankan tugas berkuat kuasa serta-merta.
Ia berperanan menasihati Agong tentang pelaksanaan perintah darurat dan penamatannya.
Jawatankuasa itu ditubuhkan mengikut Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) dan dipengerusikan bekas ketua hakim negara, Arifin Zakaria.