
Walaupun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan penangguhan sementara untuk menghentikan pengusiran membabitkan hampir 1,200 pelarian Myanmar dan pencari suaka kembali ke tanah air mereka pagi ini, Jabatan Imigresen membenarkan tiga kapal tentera laut Myanmar untuk membawa mereka dari pangkalan Tentera Laut di Lumut Perak, beberapa jam kemudian.
Menyifatkan jabatan imigresen seola-olah berada “di atas undang-undang”, Timbalan Pengarah HRW (Asia), Phil Robertson, menyifatkan sebagai “benar-benar keterlaluan dan tidak dapat diterima” bahawa jabatan itu tidak mengendahkan perintah mahkamah yang menangguhkan sementara penghantaran pulang kumpulan terbabit.
“Mula-mula Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berbohong bahawa tidak ada pelarian atau pencari suaka dalam kumpulan itu, dan sekarang beliau mengirim mereka kembali ke tangan junta tentera yang terkenal kejam terutama terhadap mereka yang melarikan diri atas alasan politik,” kata Robertson.
“Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu segera menggantung tugas ketua pengarah imigresen dan memerintahkan siasatan bebas dan tidak memihak berhubung kejadian ini.”
Robertson turut mendesak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) untuk melancarkan siasatan mengenai perkara itu.
Terdahulu, Khairul berkata, 1,086 warga Myanmar yang dihantar pulang adalah pendatang tanpa dokumen yang “bersetuju untuk kembali secara sukarela” tanpa paksaan oleh mana-mana pihak.
Awal hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penangguhan selama satu hari penghantaran pulang untuk mendengar kes membabitkan semakan kehakiman yang diajukan oleh Amnesty International Malaysia dan Asylum Access Malaysia.
Aktivis bimbang masyarakat minoriti Chin, Kachin dan bukan Muslim Rohingya yang melarikan diri dari konflik dan penganiayaan di negara mereka adalah antara yang akan dihantar pulang.
Amnesty berkata semakan kehakiman itu bertujuan mendapatkan perintah mahkamah bagi mencegah pengusiran tersebut dan memasukkan nama dan perincian tiga pemegang dokumen Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) dan 17 kanak-kanak bawah umur yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang ibu bapa yang masih berada di Malaysia.
Majlis Peguam turut memandang berat isu ini, dengan Ketua Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Migran, Pelarian dan Imigresen M Ramachelvam menyifatkan pengusiran tersebut mungkin menghina mahkamah.