Harga lantai bungkusan dalam industri kurier, perlu atau tidak?

Harga lantai bungkusan dalam industri kurier, perlu atau tidak?

Ada berpendapat ia langkah ke hadapan berikutan kejatuhan margin keuntungan, namun bagi yang lain, ia akan merugikan pengguna.

Buat masa ini, terdapat harga minimum untuk penghantaran dokumen, tetapi tidak bagi bungkusan.
PETALING JAYA:
Pakar tidak sependapat mengenai sama ada harga lantai untuk bungkusan akan menjadikan perniagaan kurier lebih lestari.

Walaupun sebuah kumpulan yang mewakili 25 syarikat kurier dan kesatuan sekerja percaya ia mungkin merupakan langkah ke hadapan berikutan kejatuhan margin keuntungan, dua ahli ekonomi berpendapat langkah itu hanya akan merugikan pengguna.

Pada 1 Jan 2015, pengawal selia industri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melaksanakan polisi harga minimum RM5 untuk setiap surat dengan berat kurang 500g untuk syarikat kurier. SKMM berkata, langkah itu akan mengekang persaingan yang tidak sihat dalam kalangan pemain industri.

Namun, tiada harga minimum ditetapkan untuk bungkusan.

Persaingan dalam industri kurier kini semakin sengit disebabkan ledakan e-dagang, dan lanjutan daripada itu, perang harga menyaksikan syarikat bertungkus- lumus menampung kos dan membayar gaji setimpal, seperti yang terbukti oleh mogok di Ipoh baru-baru ini di mana pekerja dilihat mencampak bungkusan di hub.

Presiden Persatuan Syarikat-syarikat Penghantaran Ekspress Malaysia (AMEC) Teong Teck Lean berkata, insiden itu secara langsung berkaitan dengan dominasi syarikat e-dagang gergasi yang mampu memaksa penurunan harga daripada rakan kongsi kurier mereka.

Kata Teong kepada FMT, “beberapa bentuk peraturan” diperlukan agar industri dapat beroperasi secara lestari.

“Ada baiknya kita memiliki sesuatu harga dasar, tetapi anda harus memberi pengguna tahap perkhidmatan tertentu. Kami memerlukannya (harga lantai) untuk memastikan komisen mencukupi.

“Ini adalah sesuatu yang kita (AMEC) tidak dapat putuskan, tetapi ia perlu dilakukan, dengan apa cara pun,” katanya.

Teong, yang juga pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif kumpulan GD Express Carrier Bhd (GDex), menyatakan sebarang perbincangan mengenai harga dasar harus berpusat pada perlindungan pengguna, yang menurutnya harus menjadi “keutamaan industri”.

Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia Mohd Effendy Abdul Ghani, juga bersetuju dengan idea harga lantai untuk bungkusan, terutama kerana sudah ada harga sedemikian untuk dokumen dan surat.

“Harus ada harga lantai supaya kerajaan dapat mengawal selia industri ini dengan lebih baik,” katanya.

“Pada masa ini, syarikat boleh memanipulasi harga dan mengurangkan komisen pekerja.”

Bagaimanapun, ahli ekonomi Carmelo Ferlito ingin melihat pendekatan lebih kepada pasaran bebas, dengan menyatakan sektor itu harus dikawal selia selonggar mungkin.

Katanya, ini bukan sahaja memberi pemain baru akses lebih mudah ke pasaran, tetapi industri kurier dengan sekatan yang lebih sedikit juga akan berkesan dalam mewujudkan lebih pekerjaan dalam ekonomi gig.

“Jelas terdapat ‘gelembung kurier’ yang dicipta oleh sekatan pergerakan, dan ini akan meletup apabila sekatan itu berakhir,” kata Ferlito, yang mengetuai Pusat Pendidikan Pasaran.

Beliau berkata, kuasa dalam pasaran harus dibenarkan untuk menstruktur semula industri selepas wabak Covid-19 berakhir.

“Dengan harga lantai, jika harga pasaran bawah paras itu, maka anda akan menurunkan permintaan. Dengan melakukan ini, anda tidak membenarkan pesaing memasuki pasaran.

“Akhirnya, yang akan rugi adalah pelanggan, dari segi kualiti dan kuantiti perkhidmatan yang tersedia,” katanya.

Pada Oktober, SKMM mengumumkan moratorium dua tahun untuk lesen perkhidmatan kurier baru, menyatakan ia memberi masa kepada kerajaan dan industri pos serta kurier untuk merumuskan rancangan baru untuk memperkuatkan sektor ini.

SKMM juga berkata, langkah itu sejajar seruan AMEC, yang dianggotai syarikat kurier gergasi seperti Pos Malaysia, DHL dan FedEx, antara lain.

Nazari Ismail, dari Jabatan Strategi dan Dasar Perniagaan Universiti Malaya, mengaitkan lonjakan pemain industri logistik dan kurier kepada pinjaman bank yang digunakan syarikat untuk membangun, berkembang dan bersaing antara satu sama lain.

Katanya, pemotongan kos adalah perlu kerana mereka perlu meraih keuntungan dan membayar pinjaman, dan cara terbaik untuk melakukan ini adalah dengan “membuat pekerja bekerja lebih keras dan meminimumkan upah”.

“Ini berlaku di semua industri, bukan hanya industri kurier. Harga minimum tidak akan menguntungkan pengguna. Hanya bank yang akan terus memperoleh keuntungan besar.

“Jangan menghukum pengguna hanya supaya bank dapat terus untung,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.