Dana pusat jagaan warga emas makin ‘tenat’, kos operasi meningkat sejak Covid-19

Dana pusat jagaan warga emas makin ‘tenat’, kos operasi meningkat sejak Covid-19

Mereka juga tidak boleh bergerak untuk memohon sumbangan syarikat korporat kerana pelaksanaan PKP.

Pusat Jagaan Mahmudah, Semenyih, Selangor yang menempatkan lebih 50 penghuni warga emas.
PETALING JAYA:
Sejak penularan Covid-19 bukan saja aktiviti perniagaan, pelancongan, pengangkutan terjejas malah keperitannya turut dirasai pusat jagaan warga emas yang kini berdepan kekurangan dana susulan ketiadaan penyumbang.

Pengerusi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia Ruslan Saidin berkata, bebanan kewangan juga bertambah apabila pihaknya perlu melaksanakan SOP ketat menguruskan warga emas bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19 termasuk membeli peralatan perlindungan diri (PPE) dan proses sanitasi setiap hari.

Katanya, pusat jagaan itu terpaksa kerap menukar tilam, selimut, bantal dan sebagainya dalam usaha memutuskan penularan wabak selepas 30 penghuninya dijangkiti Covid-19 baru-baru ini.

“Dari segi sumbangan orang ramai ketika ini terjejas, jadi kami mengalu-alukan pihak yang sudi membantu. Bila berlaku penularan Covid-19 kos juga makin bertambah, kami terpaksa memusnahkan tilam, selimut, bantal, langsir untuk putuskan jangkitan Covid-19 dan ia memerlukan dana lagi untuk mendapatkan barangan baharu.

“Kami, AJK juga tidak boleh bergerak ke mana-mana untuk memohon sumbangan syarikat korporat. Dulu kami bebas ke sana ke mari. Kali ini tidak boleh sebab pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), banyak kekangan untuk mencari dana.

“Kos perbelanjaan kami sebulan untuk operasi sebelum Covid-19 sekitar RM50,000 termasuk makan minum dan gaji petugas. Dengan pelaksanaan SOP yang ketat kami kena sediakan PPE, mesin sanitasi, kos meningkat sekitar RM8,000. Jadi, keseluruhan perbelanjaan kami setiap bulan mencecah RM60,000 ketika ini, dalam tempoh tiga bulan ini kami sangat memerlukan sumbangan,” katanya kepada FMT.

Warga emas dijaga rapi dengan tahap pematuhan SOP ketat bagi mengelak penularan jangkitan Covid-19 selepas 30 penghuni dijangkiti sebelum ini.

Ruslan berkata, jika kes Covid-19 kekal tinggi dan PKP berterusan pihaknya hanya boleh bertahan tidak lebih tiga bulan untuk meneruskan operasi memandangkan “kantung” semakin susut.

Katanya, sejak pusat jagaan itu dijangkiti Covid-19 dan dua penghuninya meninggal dunia, pihaknya melaksanakan SOP ketat termasuk tidak membenarkan aktiviti lawatan melibatkan orang luar.

“Setiap petugas kami yang mahu menyantuni warga emas wajib pakai PPE lengkap termasuk sarung tangan bagi mengelak jangkitan kepada warga emas, suap nasi juga kena pakai PPE, selepas itu proses sanitasi akan dilakukan,” katanya.

Bagi mengelak jangkitan dari luar berulang, pihaknya turut meletakkan syarat penghuni hanya dibenarkan diambil untuk dibawa pulang oleh waris tetapi mereka wajib melakukan saringan Covid-19 bila kembali.

Kini ada lebih 50 warga emas di bawah seliaan pusat itu.

Penghuni Pusat Jagaan Insan Emas Nur Hidayah.

Nasib sama turut dihadapi Pusat Jagaan Insan Emas Nur Hidayah, Simpang Renggam, Johor, apabila jumlah sumbangan diterima sejak Covid-19 merosot lebih 70% sambil memaklumkan dana simpanan ada hanya boleh bertahan dua bulan lagi.

Pengerusinya Saipul Anuar Yusuf berkata, sejak penularan Covid-19 Mac tahun lalu, pihaknya terpaksa memotong elaun kakitangan termasuk mengubah menu penghuni bagi menjimatkan kos operasi.

“Kalau sebelum ini banyak masak ayam, daging, sekarang kita kurangkan, lebihkan sayur dan ikan,” katanya.

Anuar berkata, bagi memastikan operasi pusat jagaan berjalan termasuk memastikan kebajikan penghuni terus dijaga beliau sendiri melakukan kerja sebagai peraih buah kelapa muda dan nanas untuk dijual di pasar tani dan pasar mini .

“Hasil pendapatan itu akan digunakan untuk kos operasi pusat jagaan. Anggaran perbelanjaan setiap bulan sekitar RM10,000 hingga RM12,000 termasuk utiliti, makan minum dan sebagainya,” katanya memaklumkan jumlah penghuni di pusat itu seramai 15 orang dengan lima kakitangan.

Berat mata memandang, berat lagi bihu memikul. Jika anda mahu membantu, mesej kami di Whatsapp FMT Helpline @ 0193899839.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.