Tiada pengusiran, tapi kerja meroboh di Kg Sungai Dua diteruskan

Tiada pengusiran, tapi kerja meroboh di Kg Sungai Dua diteruskan

Bagaimanapun, pihak berkuasa akan membersihkan struktur yang tidak dihuni di tanah milik Kementerian Dalam Negeri itu pada 15 Mac.

Penduduk Kampung Sungai Dua menetap hampir satu abad di situ tanpa hak milik tanah yang sah.
GEORGE TOWN:
Kerajaan negeri menemui penyelesaian masalah dihadapi penduduk di Kampung Sungai Dua, Gelugor, yang berdepan pengusiran untuk memberi laluan kepada pembinaan ibu pejabat polis Pulau Pinang yang baharu.

Bagaimanpun, sebahagian rumah akan dirobohkan dan sebahagian lagi tidak.

Rundingan antara Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) dan pejabat ketua menteri hari ini, memutuskan rumah yang ditinggalkan dan tidak dihuni akan dirobohkan menggunakan jentolak, seperti dirancang pada 15 Mac.

Rumah yang masih didiami tidak akan dirobohkan sementara menunggu rayuan ex gratia kepada Kementerian Dalam Negeri, kata pejabat ketua menteri Pulau Pinang, hari ini.

Baru-baru ini, sejumlah 80 penduduk Kampung Sungai Dua, termasuk lima tempat ibadat, diberi beberapa notis pengusiran untuk mengosongkan kawasan seluas 5 hektar tersebut. Penduduk sejak itu meminta gantian rumah atau tanah dan pampasan sewajarnya.

Dalam satu kenyataan, pejabat ketua menteri berkata, Ketua Menteri Chow Kon Yeow bertemu pegawai JKPTG, ADUN, Ahli Parlimen dan Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Aziz Abdul Majid petang ini berhubung isu tersebut.

Mesyuarat itu berakhir dengan polis Pulau Pinang berjanji akan merayu kepada Kementerian Dalam Negeri untuk mengembalikan semula ex gratia ditawarkan pada 2007. Ex gratia ditawarkan ketika itu RM27,200 tetapi tanpa rumah gantian.

Difahamkan sejumlah 34 keluarga menolak untuk menerima tawaran itu. Namun, sebahagian lagi menerimanya dan mengosongkan kediaman mereka.

Pejabat ketua menteri berkata, semua tindakan terhadap rumah yang masih diduduki di kampung tersebut akan ditangguhkan sehingga rayuan selesai.

“Kementerian Dalam Negeri telah diberikan peruntukan diperlukan bawah Rancangan Malaysia ke-12 untuk membina ibu pejabat polis baharu di Pulau Pinang dan projek itu dijangka dimulakan dalam masa beberapa bulan,” katanya.

Penduduk yang berdepan tindakan pengusiran itu sebahagian besarnya keturunan keluarga yang menetap di kawasan berkenaan sejak hampir satu abad lalu, tetapi tanpa hak milik tanah yang sah. Mereka mula berdepan ancaman pengusiran sejak 2007, ketika pembinaan ibu pejabat polis baharu di daerah itu pertama kali dirancang.

Menurut ADUN Batu Uban, Kumaresan Aramugam, beberapa penduduk menerima pembayaran ex gratia dan keluar tetapi yang lain mahukan rumah ganti sebagai sebahagian daripada pakej pampasan penuh.

“Walaupun kebanyakan penduduk di sini faham bahawa mereka hanya tinggal setinggan di tanah kerajaan, apa yang dimahukan hanyalah pampasan yang adil dan tempat tinggal. Mereka bersedia untuk pindah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.