
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, dalam kenyataan bersama berkata wujud keperluan segera menyelamatkan dan membina semula ekonomi negara susulan krisis kesihatan akibat Covid-19 yang memberi impak negatif kepada rakyat.
Katanya, pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi 2020 menguncup 5.6%, lebih teruk daripada anggaran 4.5% dalam Belanjawan 2021.
“Kadar pengangguran pada 2020 meningkat kepada 4.5%, jumlah paling buruk sejak 1993, dan 4.8% pada Disember, walaupun terdapat peningkatan aktiviti perniagaan pada hujung tahun.
“Kesan ekonomi yang teruk ini paling dirasai golongan B40, termasuk daripada kalangan M40 yang terjatuh ke dalam kategori B40. Dengan kegagalan mengendalikan krisis ekonomi yang sedang berlaku, jumlah ini dijangka meningkat.
“Rakyat perlu dibantu dan pakej rangsangan tambahan RM45 bilion diperlukan, iaitu tambahan kepada RM15 bilion yang diumum awal tahun ini. Satu-satunya cara untuk menyelamatkan ekonomi ialah membendung pandemik.”
Gabungan pembangkang itu turut menggesa Muhyiddin memberikan bantuan kebajikan bulanan RM1,000 kepada mereka yang menganggur.
“Kerajaan perlu segera tingkatkan perbelanjaan ujian Covid-19, rawatan dan pengesanan kontak, serta pelaksanaan pemberian vaksin.
“Kita masih melaksanakan di antara 50,000 ke 70,000 ujian sehari, dengan kadar positif sekitar 6%. Jumlah ujian saringan perlu ditingkatkan lima kali ganda, jika kita benar-benar mahu membendung pandemik ini.”
Mereka berkata, Putrajaya wajar menyediakan subsidi untuk sebahagian daripada kos ujian untuk syarikat secara tetap, terutama bagi syarikat yang menggunakan pekerja asing dan tinggal di asrama beramai-ramai.
“Kos kepada kerajaan untuk subsidi ujian saringan ini sudah tentu lebih rendah berbanding kos ekonomi yang ditanggung syarikat, terutama PKS sewaktu PKP 2.0.
“Sebagai contoh, industri pelancongan kehilangan pendapatan RM100 bilion pada 2020, dan keadaan masih buruk di mana banyak pengusaha hotel dan pengendali pelancong terpaksa tutup kedai. Pelbagai sektor lain daripada pembinaan kepada peruncitan turut terjejas.”