Guna teknologi pengecaman wajah untuk RTS, Najib beritahu kerajaan

Guna teknologi pengecaman wajah untuk RTS, Najib beritahu kerajaan

Pelepasan kastam dan imigresen lebih pantas merupakan kunci kejayaan Sistem Transit Aliran Johor Bahru-Singapura.

Teknologi pengecaman wajah dilaksanakan di semua kaunter pemeriksaan imigresesn Singapura sejak Okt. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Najib Razak berkata, pelepasan kastam dan imigresen lebih pantas merupakan kunci kejayaan Sistem Transit Aliran Johor Bahru-Singapura (RTS).

Beliau berkata, kereta api itu sudah cukup baik dari segi masa perjalanan, tetapi isu sebenarnya ialah pelepasan imigresen dan kastam.

“Pengumuman kerajaan minggu lepas bahawa penumpang RTS yang tempoh perjalanannya hanya 5 minit masih perlukan masa 10-15 minit lagi untuk proses pelepasan kastam dan imigresen, (ini) agak mengecewakan,” katanya di Facebook.

Beliau menggesa kerajaan menggandingkan teknologi dalam sistem RTS bagi mempercepatkan proses pelepasan sempadan.

Najib merujuk kepada sistem Face ID iPhone Apple, iaitu sistem pengecaman wajah yang boleh mencapai ketepatan 99% yang menurutnya merupakan sebuah sistem dengan kadar satu kesilapan bagi setiap sejuta wajah dicam.

“Sebenarnya kita tidak perlu tunggu sehingga RTS mula beroperasi untuk memulakan sistem ini sebab teknologi (itu) sudah ada.

“Cuma perlu bincang dengan negara Singapura untuk wujudkan sistem baharu tersebut secepat mungkin dan digunakan di ‘checkpoint’ kastam dan imigresen sedia ada,” katanya.

Beliau berkata, paling tidak kedua-dua Malaysia dan Singapura boleh mula mendaftar pemegang kad imigresen dan wajah pemilik dalam tempoh enam bulan sebelum RTS bermula bagi menjamin kejayaan RTS.

“Jika nak lagi pantas, kad sentuhan juga boleh digunakan sebagai kad tiket RTS supaya pelepasan kastam dan imigresen dibuat semasa menaiki kereta api, katanya.

Dilaporkan Okt lepas bahawa imigresen Singapura melaksanakan teknologi pengecaman mata (iris) dan wajah bagi rakyatnya di semua kaunter imigresen negara itu, terutama di Woodlands, Tuas dan Kapangan Terbang Changi.

Menurut CNA, pengembara antarabangsa yang mengemukakan cop jari, maklumat wajah dan mata mereka di kaunter maklumat semasa tiba di Singapura juga boleh menggunakanya untuk pelepasan dan perjalanan masa depan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.