Wujudkan peraturan jelas, kata pemilik restoran susulan serbuan polis

Wujudkan peraturan jelas, kata pemilik restoran susulan serbuan polis

Pemilik restoran berkata, perniagaan mereka merosot 80% hingga 90% setelah timbul kekeliruan mengenai penjualan minuman keras.

PETALING JAYA:
Ia merupakan hari Jumaat “terburuk” bagi pemilik restoran dan bar di kawasan popular Telawi di Bangsar hujung minggu ini setelah serbuan polis menimbulkan kekeliruan sama ada penjualan minuman keras dibenarkan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP).

Mendakwa mereka mengalami kemerosotan perniagaan sebanyak 80% hingga 90% selepas serbuan polis di kawasan itu Jumaat lalu, pemilik restoran berkata, mereka akan mengadakan pertemuan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan polis.

Jurucakap Persatuan Pemilik Restoran Bar Joshua Bilique menggesa kerajaan membuat peraturan konsisten yang boleh diguna pakai di semua premis yang menjual minuman keras.

“Kami perlukan pengumuman yang jelas dan adil yang boleh diguna pakai secara menyeluruh. Pastikan persaingan yang adil untuk semua restoran dan bar di Kuala Lumpur,” katanya.

Pemilik restoran di Telawi berdepan kekeliruan Jumaat lalu ketika polis memaklumkan premis mereka tidak dibenarkan menghidangkan minuman keras.

“Pada 4 petang (Jumaat), polis memaklumkan bahawa kami tidak boleh menghidangkan minuman keras di bar. Kemudian, pada 8.30 malam (hari yang sama), mereka kata, boleh hidang minuman keras, tetapi bukan dari bar.

“Pelanggan kami sudah pun pergi ke tempat lain,” kata Bilique.

Katanya, hanya premis di kawasan Telawi terkesan dengan serbuan tersebut, tetapi tidak restoran dan bar di kawasan lain di Kuala Lumpur.

“Kami tidak tahu apakah yang akan terjadi sepanjang minggu depan. Hari Jumaat selalunya hari yang sibuk untuk kami. Tetapi sekarang, kami mengalami kerugian akibat minuman keras yang tidak terjual, serta bekalan makanan membazir,” kata Bilique.

“(Restoran) kami ditempah penuh, tetapi menjadi kosong selepas serbuan.”

Tambahnya, restoran sudah pun beroperasi dengan separuh kapasiti.

“Bilangan pelanggan sememangnya kurang, dan pada masa yang sama, tiada perniagaan pada Jumaat malam, antara hari-hari yang kami boleh mengaut keuntungan,” katanya.

Bilique berkata, MKN membenarkan restoran dan bar dibuka dan menghidangkan minuman keras, dan hanya kelab malam dan pub tidak dibenarkan dibuka.

Katanya, serbuan tersebut memberi tanggapan buruk kepada pelanggan yang kini akan menganggap kawasan Telawi, yang biasanya popular setiap Jumaat dan Sabtu malam, sebagai “kawasan panas” bagi tindakan penguatkuasaan PKP oleh polis.

“Semua orang takut mereka akan didenda. Pelanggan tidak akan datang lagi. Mereka akan menganggap Bangsar sekarang tidak selamat,” tambahnya.

Pemilik restoran juga diberi amaran bahawa mereka akan didenda, katanya.

Bilique berkata, sebelum wabak Covid-19 melanda, restoran dapat mengaut keuntungan sebanyak RM20,000 satu malam, tetapi angka tersebut turun kepada RM5,000 sepanjang PKP pemulihan tahun lalu.

Jumaat lalu, polis yang mengunjungi sekitar 30 bar dan restoran di kawasan Telawi berkata, mereka bertindak berdasarkan peraturan yang ditetapkan oleh MKN.

Ketua polis Kuala Lumpur Saiful Azly Kamaruddin kemudian memberitahu FMT bahawa “premis yang mempunyai lesen bar dan restoran tidak boleh membuka kaunter bar mereka”.

Ketika diberitahu bahawa pemilik mendakwa mereka beroperasi dengan lesen restoran, dia menjawab, “Maka restoran harus menjual makanan sahaja.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.