Rangka manusia ditemui dalam semak

Rangka manusia ditemui dalam semak

Rangka itu ditemui dua pekerja Bangladesh ketika menebas rumput di Jalan Kerayong, Brickfields tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Anuar Omar berkata, pihak forensik, Unit K9 dan ahli patologi dari HKL hadir ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Satu rangka manusia dalam keadaan reput ditemui dalam semak di Jalan Kerayong, Brickfields tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Anuar Omar berkata, rangka berkenaan ditemui dua pekerja Bangladesh ketika menebas rumput di kawasan tanah kosong sebuah ladang kira-kira 12.30 tengah hari.

“Kami dalam proses mengenal pasti identiti mangsa…mayat dalam keadaan reput, manakala kepala terpisah dengan jarak lebih kurang tiga kaki,” katanya.

Beliau berkata, sehelai kemeja berjenama “Seven Saints” berwarna merah turut ditemukan berhampiran rangka berkenaan, manakala kawasan itu tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan pengawal keselamatan.

“Pihak forensik, Unit K9 dan ahli patologi dari Hospital Kuala Lumpur turut hadir di lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan,” katanya.

Anuar meminta sesiapa yang kehilangan ahli keluarga atau rakan atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi polis bagi membantu siasatan dan proses mengenal pasti mayat mangsa.

“Sebarang pertanyaan atau maklumat boleh disalurkan ke Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.