Kajian: Penyelidik Malaysia pilih terbit makalah dalam jurnal berbayar

Kajian: Penyelidik Malaysia pilih terbit makalah dalam jurnal berbayar

Kajian Czech mendapati penggunaan jurnal ‘pemangsa’ dengan proses semakan diragui menjadi masalah sistemik di Malaysia.

Kualiti penyelidikan akademik di Malaysia dipersoalkan oleh satu kajian Czech. (Gambar Fail)
PETALING JAYA:
Satu kajian Czech menimbulkan persoalan mengenai kualiti penyelidikan akademik di Malaysia setelah mendapati satu daripada 10 artikel dari Malaysia yang diindeks dalam pangkalan data penyelidikan diterbitkan dalam jurnal dengan proses semakan yang diragui.

Salah seorang penulis kajian, Martin Srholec, berkata, penemuan kajian tersebut menunjukkan amalan penerbitan pemangsa ” menjadi masalah sistemik di peringkat nasional” di Malaysia.

“Ini memerlukan kajian semula terperinci mengenai kualiti penyelidikan akademik di negara ini,” katanya kepada FMT.

Walaupun bukan setiap makalah yang diterbitkan dalam jurnal pemangsa adalah palsu, ia mungkin berkualiti rendah.

“Terdapat risiko bahawa pandangan dalam makalah tersebut boleh diragui, kalau bukan langsung tidak bernilai,” tambahnya.

Ahli akademik yang menerbitkan makalah dalam jurnal pemangsa harus ditegur dengan keras, katanya.

Penerbitan pemangsa merujuk kepada penerbitan yang mengenakan bayaran untuk menerbitkan makalah akademik, selalunya tanpa menyemak kualiti dan kesahihannya.

Srholec berkata, hasil kajian mungkin menandakan ramai penyelidik Malaysia memilih untuk membayar untuk menerbitkan makalah dalam jurnal dengan “amalan editorial yang diragui” berbanding menyerahkan makalah mereka untuk diterbitkan dalam jurnal yang lebih dipercayai.

Katanya, “jurnal saintifik yang diyakini” sebegitu mengamalkan proses “peer review” standard, sukar dan kadang-kadang memeningkan.

Penyelidik Malaysia harus lebih berhati-hati di mana mereka menerbitkan hasil penyelidikan, katanya.

“Secara umum, mereka harus menjauhkan diri daripada jurnal yang tidak memberi mereka komen ‘peer review’ yang terperinci dan pastinya tidak membayar untuk penerbitan dalam jurnal seperti itu,” kata Srholec.

Pengurus penyelidikan (seperti rektor dan dekan di universiti) harus mengelak daripada menawarkan insentif wang atau kemajuan karier hanya berdasarkan kuantiti penyelidikan yang diterbitkan.

“Mereka harus fokus dalam menggalakkan kualiti, bukan kuantiti penyelidikan,” katanya.

Srholec juga menyarankan agar kerajaan meneliti sistem penilaian penyelidikan di peringkat kebangsaan untuk memastikan adanya penilaian penerbitan yang bermakna oleh ahli akademik tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.