
Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan (SCHOMOS) berkata, sebilangan masalah “kronik” sudah dibawa untuk perhatian kerajaan sejak 2019 dengan hanya sedikit tindakan diambil untuk menyelesaikannya.
Katanya, pertama terdapat kekurangan tenaga kerja dalam sistem penjagaan kesihatan awam, dengan nisbah doktor kepada pesakit di Malaysia 1 kepada 454, ketinggalan di belakang Singapura (1:399) dan Amerika Syarikat (1:277).
“Senario ini dapat dilihat semasa wabak tercetus di Sabah baru-baru ini di mana jelas terdapat masalah dalam pengagihan tenaga kerja kesihatan,” kata Presiden MMA Dr Subramaniam Muniandy dalam kenyataan.
“Sebenarnya, banyak hospital di negara ini tidak dapat ditukarkan menjadi hospital Covid-19 kerana kekurangan sumber daya manusia juga.”
Beliau juga mengkritik sistem doktor kontrak yang banyak difitnah, digambarkan oleh banyak pihak sebagai “semak, berat sebelah dan gagal”.

Katanya, ini kerana sistem yang dirancang untuk menawarkan pekerjaan kepada graduan perubatan baharu menyebabkan ramai tidak yakin dengan prospek pekerjaan dalam sektor kerajaan dan masa depan mereka dalam bidang perubatan.
“Tidak ada kriteria yang jelas berkenaan serapan ke jawatan tetap dan tidak ada laluan konkrit untuk pengkhususan. Kami menggesa agar kriteria serapan ke jawatan tetap disediakan,” kata Subramaniam.
Merujuk kepada seruan untuk meningkatkan jumlah jawatan tetap atau melanjutkan tempoh kontrak yang dibuat sejak sebelum wabak Covid-19 tercetus lagi, beliau berkata, “kami hanya ditabur janji-janji manis”.
Katanya, kegagalan untuk memperbaiki sistem itu boleh mengakibatkan doktor yang berbakat mencari peluang di luar negara.
Beliau turut mempersoalkan jaminan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba November lalu, pegawai perubatan kontrak akan dinaikkan gred gaji daripada UD41 ke UD43 untuk mencerminkan tugas mereka yang setara dengan rakan sekerja yang berjawatan tetap.
Sejak pengumuman itu dibuat, tiada kemas kini atau perubahan dibuat, kata Subramaniam.
Akhir sekali, beliau berkata, pembayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal, yang hampir ditarik balik awal tahun lalu dengan alasan untuk mengkaji semula perkara tersebut, harus dikekalkan dan tidak dipersoalkan.
Apa-apa semakan hanya patut berkenaan peningkatan jumlahnya, kata Subramaniam.
Elaun kritikal itu berjumlah RM750 sebulan untuk doktor, ahli farmasi dan doktor gigi, dan sehingga 15% daripada gaji pokok bulanan untuk jururawat.
“Jangan ragui kepentingan pekerja kesihatan kepada negara, dan ini harus diiktiraf dan tidak dipersoalkan,” katanya.
Subramaniam berkata, isu itu sudah dibawa untuk perhatian Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Kementerian Kesihatan, dan MMA masih menunggu respons mereka.
“Kami memohon kepada anda dan berharap agar anda mengambil tindakan segera demi negara yang kita semua cintai dan kepadanya kita berkhidmat.”