Sarawak tak paksa vaksinasi, masih sasar 2.2 juta suntikan

Sarawak tak paksa vaksinasi, masih sasar 2.2 juta suntikan

Kerajaan Sarawak tidak akan memaksa semua orang untuk menerima vaksin Covid-19 kerana ia terpulang kepada individu.

Ketua Menteri Douglas Uggah Embas berkata, negeri itu turut mencari vaksin tambahan di pasaran sekiranya berlaku kekurangan. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan Sarawak tidak akan memaksa semua orang untuk menerima vaksin Covid-19 kerana ia terpulang kepada individu.

Dalam kenyataan beliau berkata, vaksin hanya akan diberikan kepada mereka yang menginginkannya.

“Kami sedar ada orang yang tidak mahu diberi vaksin kerana takut dan fobia yang tertentu,” katanya.

“Sayangnya mereka mungkin dipengaruhi oleh banyak perkongsian negatif di media sosial, di mana sebahagiannya agak menakutkan.”

Bagaimanapun, kerajaan negeri menyasarkan sekurang-kurangnya 2.2 juta orang di Sarawak diberi vaksin bawah program vaksinasi tiga fasa, yang akan dilancarkan di Kuching pada 27 Feb.

Uggah berkata, mereka yang ingin diberi vaksin, akan diperiksa oleh doktor untuk mengetahui jenis alahan atau penyakit terlebih dahulu bagi memastikan mereka sesuai untuk vaksinasi.

Katanya, kerajaan negeri akan melancarkan kempen dan publisiti di akhbar serta platform media sosial berhubung perlunya seseorang diberi vaksin.

“Vaksin ini adalah untuk melindungi diri kita sendiri, keluarga dan masyarakat. Ia juga membolehkan kita memulakan semula pelbagai aktiviti ekonomi dan kembali kepada rutin biasa. ”

Uggah, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak berkata, sebuah jawatankuasa khas dianggotai 10 ahli diketuai saintis tempatan, Dr Andrew Kiyu, dibentuk untuk meneliti keperluan mendapatkan lebih banyak vaksin bagi negeri ini sekiranya diperlukan.

“Walaupun kerajaan persekutuan menyediakan vaksin Pfizer-BioNTech, kita perlu mencari bekalan tambahan, sekiranya tidak mencukupi atau kehabisan,” katanya.

“Untuk itu, Ketua Menteri Abang Johari Openg mengarahkan Andrew, yang juga bekas pengarah kesihatan negeri dan kumpulan saintisnya, untuk memberikan cadangan kepada kerajaan negeri mengenai vaksin lain yang berada di pasaran,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.