Hina mahkamah: Malaysiakini didenda RM500,000

Hina mahkamah: Malaysiakini didenda RM500,000

Denda yang dijatuhkan oleh Mahkamah Persekutuan itu adalah jauh melebihi denda RM200,000 yang dicadangkan peguam persekutuan kanan Suzana Atan.

PUTRAJAYA: Mkini Dotcom Sdn Bhd, yang mengendalikan portal Malaysiakini, didenda RM500,000 selepas didapati bersalah menghina mahkamah dengan menerbitkan komen warganet tahun lalu.

Denda yang dijatuhkan oleh Mahkamah Persekutuan itu jauh melebihi denda RM200,000 yang dicadangkan oleh peguam persekutuan kanan Suzana Atan.

Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusof, yang mengetuai panel enam hakim, berkata, Mahkamah Persekutuan mengambil kira bahawa pengurusan Mkini telah bekerjasama dengan polis dan memohon maaf kepada pihak berkenaan.

Bagaimanapun beliau berkata, adalah tanggungjawab mahkamah untuk turut mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan.

“Komen yang disiarkan menarik perhatian meluas di dalam negara dan secara global. Dakwaan berlaku rasuah dalam badan kehakiman adalah palsu,” kata beliau.

Justeru menurutnya, denda RM500,000 adalah berpatutan.

Syarikat berkenaan diberikan tempoh sehingga Rabu depan untuk membayar denda itu.

Peguam Negara Idrus Harun memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Malaysiakini dan ketua pengarangnya Steven Gan pada 16 Jun.

Beliau berkata, portal itu memudah cara penerbitan komen pembaca yang mencemar badan kehakiman negara.

Komen terbabit muncul dalam sebuah artikel bertarikh 9 Jun 2020 dengan tajuk “CJ orders all courts to be fully operational from July 1”.

Rohana yang membacakan keputusan majoriti berkata, Malaysiakini tidak boleh mendakwa sistem tapisannya gagal mengeluarkan komen ofensif itu kerana ia pada hakikatnya hanya memilih untuk menapis bahasa yang menyinggung perasaan, “walaupun kami hairan bagaimana komen ini melepasi tapisan berdasarkan bahasa komen yang dipersoalkan”.

Beliau berkata, tiga kawalan yang diguna pakai oleh Malaysiakini gagal dan tidak berjaya mengawal atau menghalang secara berkesan komen ofensif daripada diterbitkan.

“Hal keadaan berkait kes ini menunjukkan komen yang dipersoalkan diterbitkan tanpa sekatan dan hanya dikeluarkan selepas diberitahu oleh polis,” katanya.

Beliau berkata, keputusan majoriti tidak boleh menerima kegagalan langkah tapisan sebagai pembelaan penuh dan Malaysiakini tidak boleh secara tidak wajar dan tidak bertanggungjawab memindahkan kesemua kesalahan itu kepada pelanggan atas talian pihak ketiga, sekali gus membebaskan diri daripada semua liabiliti.

“Ringkasnya, seperti disebut dalam permohonan peguam negara, Malaysiakini memudah cara penerbitan komen berunsur fitnah oleh pelanggan pihak ketiga,” katanya.

Rohana berkata, tiada seorang pun daripada 10 editor Malaysiakini tampil untuk menafikan pengetahuan dan menjelaskan bagaimana mereka terlepas pandang komen buruk tersebut.

Katanya, Malaysiakini setidak-tidaknya harus memastikan khalayak didedahkan kepada perbincangan seimbang mengenai isu berkepentingan awam dan tidak mengambil bahagian menghina dan memperlekeh badan kehakiman untuk menghakis kepercayaan awam.

Beliau berkata, hujah pembelaan portal berkenaan bahawa kod kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia melindunginya daripada liabiliti berpunca daripada salah tafsiran terhadap kod berkenaan.

Keputusan majoriti menyebut, ia melepaskan Gan daripada keputusan menghina mahkamah kerana tiada fakta atau keterangan yang diperolehi menunjukkan beliau memudah cara penerbitan komen terbabit.

Hakim menentang, Nallini berkata, Malaysiakini dan Gan tidak menyedari akan kewujudan dan kandungan kod berkenaan sehingga selepas ia dibawa kepada perhatian mereka pada 12 Jun.

Katanya, Malaysiakini merupakan “penerbit” hanya jika ia tahu akan kewujudan dan kandungan komen yang dimuat naik oleh pihak ketiga, yang “bukan merupakan isu di sini”.

Nallini juga berkata, kandungan yang dipersoalkan itu dikeluarkan 12 minit selepas Malaysiakini dinasihatkan supaya berbuat demikian.

“Ini menunjukkan respons segera, yang memperlihatkan niat untuk tidak membenarkan bahan berunsur fitnah itu berada dalam portal mereka.”

Gan memberitahu media bahawa beliau terkejut dengan jumlah denda yang dikenakan, sedangkan wakil peguam negara hanya mencadangkan RM200,000.

“Ia tamparan hebat terhadap kami. Bagaimanapun, sama seperti sebelum ini, kami berharap para penyokong akan tampil membantu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.