
Timbalan Presidennya Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, pihaknya mengetahui perkara itu menerusi laporan media dan tiada sebarang aduan disampaikan pihak persatuan, termasuk daripada wakil Silverstone.
“Bagi MTUC kita tahu mereka mengalami kerugian, tetapi mereka perlu mengikut langkah demi langkah sebelum menghentikan (operasi) kilang, termasuklah mengurangkan waktu kerja lebih masa bagi memastikan operasi boleh diteruskan, dan memberi notis keputusan akan henti operasi.
“Sepatutnya bincang dulu dengan pekerja, capai keputusan menang-menang, malah Silverstone ada kesatuan sendiri. Jadi, guna platform itu untuk berbincang.,” katanya kepada FMT.

Mohd Effendy berkata, keputusan menghentikan operasi kilang berkenaan perlu dijadikan pilihan terakhir.
Beliau berkata, sekiranya benar penutupan kilang adalah pilihan terakhir, notis awal perlu diberikan kepada pekerja, termasuk memaklumkan kerajaan negeri Perak atau kerajaan pusat, termasuk Kementerian Sumber Manusia (KSM).
“Jika betul dakwaan kata kilang itu akan henti operasi ,pampasan wajib diberikan kepada pekerja. Berdasarkan laporan media pihak syarikat jamin akan mematuhi Perjanjian Bersama (CA), termasuk memberi pampasan. Mereka wajib bayar pampasan tanpa alasan,” katanya,
Terdahulu FMT melaporkan kira-kira 1,000 pekerja kilang tayar Silverstone menghadapi masa depan tidak menentu apabila kilang di Kamunting itu akan menghentikan operasinya akhir Jun ini.
Selain pemakluman secara rasmi oleh Toyo Tires yang juga pemilik syarikat itu, Jabatan Sumber Manusia dan wakil pengurusan kilang berkenaan turut mengedarkan notis pemberhentian operasi kilang kepada pekerja pada Isnin.
Seorang pekerja yang dihubungi memberitahu, beliau difahamkan notis pemberhentian kerja itu membabitkan semua pekerja di Silverstone.
“Pengeluaran tayar jenama Silverstone selepas ini akan dibuat di kilang Toyo Tyre Malaysia Sdn Bhd,” kata notis itu yang turut dikongsi oleh beberapa pengguna Facebook.
Mohd Effendy turut menggesa pihak pengurusan Silverstone membuat perjanjian supaya pekerja diserap masuk di bawah pengurusan baru agar nasib mereka tidak terabai.
“Sebab kalau pekerja diberhenti mereka susah nak cari kerja baharu bagi mereka yang berusia dan sudah lama bekerja.
“Ini ditambah pula sekarang ini penularan Covid-19 lagi susah nak dapat kerja baharu. Kalau dapat pampasan bukan terus dapat kena tunggu lama juga,” katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan Perak supaya campur tangan dengan membantu menyediakan tapak dan memudahkan pemberian lesen berniaga jika pekerja mahu menceburi bidang perniagaan.
Ini memandangkan ada dalam kalangan mereka tidak lagi diterima bekerja berikutan faktor usia.