
Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (Magpie), Mak Chee Kin, menyambut baik inisiatif Putrajaya membantu mereka yang tidak mempunyai peranti atau sambungan internet, tetapi masalah boleh timbul kerana saluran tunggal itu perlu memenuhi keperluan pelajar dari pra-sekolah hingga Tingkatan 6.
“Tengok jadual waktu, saya rasa satu saluran tidak mencukupi,” kata Mak.
“Mungkin kerajaan perlu tambah saluran. Paling tidak, kita boleh pecahkannya menjadi saluran utama dan saluran kedua. Sekiranya kerajaan mahukan hasil yang diinginkan, mereka tidak boleh longgokkan semua kali dalam satu saluran.”

Walaupun kualiti guru yang dipilih untuk menyampaikan program diperdebatkan, Mak berkata, isu yang lebih besar adalah kurangnya interaksi antara guru dan pelajar, dan adakah DidikTV dapat memenuhi tahap pemahaman pelajar yang berbeza.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyatakan kejayaan DidikTV sebahagiannya bergantung pada disiplin pelajar untuk duduk di hadapan televisyen sepanjang hari.
Beliau mempersoalkan bagaimana guru boleh menilai perkembangan pelajar mereka dalam waktu terdekat, dan bagaimana keluarga dengan beberapa orang anak akan boleh menonton televisyen pada masa sama.
Memandangkan program pendidikan di televisyen adalah sehala, beliau tertanya-tanya bagaimana untuk seorang pelajar bertanya tentang pelajarannya dan mendapatkan penjelasan.
Sementara itu, Noor Azimah Abdul Rahim, pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa untuk Pendidikan (PAGE), menyatakan ibu bapa terpaksa membeli surat khabar untuk mengetahui waktu program DidikTV, kos tambahan bagi keluarga B40.

“Bagi televisyen pancaran darat, kami mahu mencadangkan agar rerayap senarai rancangan yang berselang-seli dan berguna diselitkan pada rancangan yang bersiaran, supaya pelajar tahu dan dapat merancang hari mereka, sementara pengguna televisyen pintar boleh menggunakan panduan yang tersedia,” katanya kepada FMT.
Walaupun DidikTV ditayangkan selama 17 jam sehari, Azimah mendapati hari pertama menyiarkan pembelajaran formal selama 6.5 jam untuk pelajar Tahun Dua, Tingkatan Dua, Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima.
Katanya, waktu selebihnya menyiarkan mata pelajaran bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM ), yang mana tiga jam diperuntukkan untuk Bahasa Arab.

“Ia boleh menjadi alat yang efektif hanya jika ada penumpuan penuh pada pembelajaran formal bagi semua tahap sekolah setipa hari.
“Untuk menarik minat ibu bapa dan pelajar pada hari pelancaran, sepatutnya diketengahkan mata pelajaran teras yang diajar oleh guru berpengalaman. Tanggapan pertama sangat penting untuk kelestarian,” katanya.
Dilancarkan semalam, DidikTV menyiarkan program pengajaran dan pembelajaran berdasarkan kurikulum dan kokurikulum kementerian pendidikan, bersama dengan program hiburan berunsur pendidikan dan kandungan yang dihasilkan oleh pelajar.
Ia dapat diakses di saluran NTV7 yang ada di MYTV (107), Astro (147) dan Unifi (NTV7), serta di TV darat, dari 7 pagi hingga tengah malam setiap hari.